Pembangkang puji bajet Selangor, tetapi tuntut tunai janji

Rizam Ismail berkata apa yang paling penting bagaimana Selangor melaksanakan janjinya.

SHAH ALAM: Pembangkang Selangor memuji bajet 2019 negeri itu yang dibentangkan Menteri Besar Amirudin Shari, tetapi menuntut pelaksanan janji yang dibuat kepada rakyat.

Ketua pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata berdasarkan bajet sebelum ini dapat dilihat kerajaan negeri sukar menunaikan janji mereka.

“Pertamanya, bajet Selangor pada petang ini menelan belanja RM2.56 bilion, kita lihat bajet ini menekankan secara menyeluruh untuk rakyat dan juga kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Selain daripada mengekalkan perkara sedia ada seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), ada beberapa penambahbaikan seperti kenaikan meter padu air,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2019 Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor.

Adun Sungai Ayer Tawar itu berkata apa yang paling penting adalah bagaimana kerajaan negeri melaksanakan janjinya.

“Kalau kita lihat masalah lepas-lepas ialah dari segi melaksanakan apa yang dibentangkan. Misalnya rumah daripada 29,000 unit hanya 3,000 unit dapat dibuat.

“Tahun depan mengalami kelembapan ekonomi dunia, ini cabaran kerajaan Selangor laksanakannya,” katanya.

Kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan sejumlah RM2.56 bilion bagi Belanjawan Selangor 2019.

Amirudin berkata, anggaran itu bersandarkan kepada kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan.

Katanya, daripada jumlah terbabit, RM1.28 bilion atau 50% diperuntukkan bagi Belanja Mengurus dan RM1.28 bilion atau 50% untuk Belanja Pembangunan.