Selangor cadang bina litar lumba di Gombak

Amirudin Shari berkata, litar lumba itu boleh digunakan bagi tujuan latihan pemanduan oleh jabatan kerajaan, seperti JPJ, polis dan bomba. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang membina satu litar lumba di Sungai Tua, Gombak bagi merancakkan sukan permotoran di negeri itu, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Adun Sungai Tua itu berkata, kerajaan negeri akan menyediakan tanah seluas 20 ekar untuk projek yang akan dibangunkan menerusi kaedah perkongsian awam-swasta (PPP).

“Dengan ini, penganjuran acara-acara permotoran di peringkat Kebangsaan mahupun antarabangsa boleh dilakukan.

“Litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 penonton dan dilengkapi kemudahan seperti ‘paddock’, kafeteria, surau dan gerai jualan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 Selangor di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu disuarakan pelumba dari Selangor, Hafizh Syahrin Abdullah baru-baru ini yang mencatat sejarah menjadi pelumba negara pertama menyertai Grand Prix Motosikal (MotoGP), sebaris pelumba handalan dunia, Marc Marquez dan Valentino Rossi.

“Litar yang dibina akan dibincangkan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi mendapatkan spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan besar diadakan di litar ini.

“Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan bomba.”

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta untuk pasukan bola sepak Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Selangor United tahun depan.

“Selangor United yang akan bertanding di Liga Perdana buat pertama kali. Penstrukturan baharu bola sepak Selangor ini bakal mengambil tempat dalam masa terdekat, selepas perbincangan lanjut antara pihak terlibat.

“Penstrukturan ini bertujuan mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak Selangor di arena bola sepak tanah air dan benua Asia,” katanya.