Utusan diarah bayar ganti rugi RM30,000 fitnah Guan Eng

Lim Guan Eng memfailkan saman terhadap Utusan Melayu berhubung artikel bertajuk ‘Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu?’.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Utusan Melayu (M) Berhad membayar ganti rugi sebanyak RM30,000 kepada Lim Guan Eng, berikutan saman fitnah dikemukakan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu terhadap syarikat penerbitan dan pengarangnya.

Keputusan mahkamah itu dimaklumkan peguam Datuk N Murali, yang mewakili Lim, yang kini menteri kewangan, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Hakim Datuk Rosilah Yop turut mengarahkan Utusan Melayu membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Lim, selaku plantif.

Pada 27 Sept lepas, kes saman fitnah itu selesai selepas pengarangnya, Zulklifi Jalil, yang pengarang Rencana dan Analisis dan Utusan Melayu memohon maaf kepada Lim berhubung penerbitan 1 artikel bertajuk “Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu?” yang diterbitkan akhbar itu pada 10 April 2015.

Lim memfailkan saman itu pada 10 Sept 2015 terhadap Utusan Melayu sebagai defendan pertama dan Zulkifli sebagai defendan ke-2.

Dalam kenyataan tuntutannya, Lim mendakwa artikel berkenaan mengandungi kenyataan fitnah, palsu dan berniat jahat terhadapnya kerana mendakwa plaintif campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang berhubung isu tanah wakaf.