Wan Saiful: Pupuk kesatuan nasional perlu kepimpinan, strategi koheren

PETALING JAYA: Memupuk kesatuan nasional memerlukan kepimpinan dan strategi koheren ketika hubungan antara agama dan kaum sengaja diduga oleh pihak yang mengapi-apikan perpecahan, kata Wan Saiful Wan Jan.

Ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM itu berkata negara perlukan pendekatan lebih tersusun untuk membina rakyat berminda terbuka, menerusi perubahan nilai dan sikap, seperti yang dibincangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam buku Dilema Melayu secara mendalam.

“Tetapi untuk mengubah bangsa ke arah budaya baru memerlukan strategi dan naratif yang dilaksanakan oleh semua pihak secara koheren.

“Strategi dan naratif itu kini seolah-olah tiada, menyebabkan kita sering menjadi defensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata nilai-nilai progresif dan jiwa merdeka yang Dr Mahathir sebutkan perlu diuar-uarkan oleh semua agar “kita benar-benar memimpin ke arah perubahan dan bukan responsif semata-mata”.

“Pemimpin sikapnya memimpin, bukan hanya mencerminkan sikap semasa,” katanya.

Wan Saiful ketika dihubungi berkata antara isu-isu yang membimbangkan beliau adalah ketegangan sekitar pengesahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan isu Edi Rejang.

Beliau dalam kenyataan berkata hubungan antara agama dan kaum yang sepatutnya diperkukuh seolah-olah dicarikkan dengan sengaja dan tidak sengaja.

Wan Saiful membidas pihak yang “menangguk di air keruh untuk kepentingan politik” dan sengaja mengapi-apikan perpecahan agar kelihatan seperti juara.

“Agenda mereka tidak relevan jika rakyat negara ini sehati sejiwa,” katanya. “Cara mereka ini menyebabkan ada rakyat yang bertindak sendiri merosakkan keadaan.”

Beliau juga berdukacita dengan pihak yang memilih masa dan tempat yang salah untuk menyuarakan komen atau pandangan dalam isu yang bukan keutamaan.

“Mereka terlupa niat yang baik tidak boleh menjadi justifikasi cara yang silap,” katanya.

Wan Saiful berkata semua orang harus bersatu memberi keutamaan kepada agenda memajukan ekonomi, perkongsian kekayaan yang adil, mengaja kebajikan rakyat, dan pemantapan institusi.

“Tidak perlulah kita menimbulkan isu yang hanya melemahkan agenda perubahan,” katanya.

“Jika kita fokus kepada memajukan ekonomi, perkongsian kekayaan yang adil, menjaga kebajikan rakyat, dan pemantapan institusi, maka kematangan akan bertapak secara semulajadi dalam minda rakyat, lantas membolehkan pelbagai isu diperdebat dengan lebih sihat,” katanya.