Warga Bangladesh ditahan dipercayai liwat kanak-kanak

Suspek meliwat mangsa dalam sebuah stor berhampiran Medan Selera Jaya di Petaling Jaya. (File pic)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan dipercayai meliwat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah stor berhampiran Medan Selera Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata pekerja kontrak berusia 36 tahun itu ditahan sejurus laporan polis dibuat oleh bapa mangsa kira-kira jam 2.00 pagi tadi.

“Mangsa memaklumkan kepada bapanya bahawa suspek meliwatnya kira-kira 8.30 malam ketika dia berada di stor berkenaan untuk mengambil telefon bimbitnya yang sedang dicas.

“Suspek turut mengurung mangsa di dalam stor itu, sebelum ini suspek pernah cuba meliwat mangsa serta menawarkan wang berjumlah RM150 sebagai habuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.