Dokumen bangunkan Taman Rimba Kiara sah dan mengikat, kata Khalid

Penduduk TTDI mahu Taman Rimba Kiara diselamatkan daripada dibangunkan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Dokumen ditandatangani bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dengan pemaju bagi membangunkan blok kondominium pencakar langit di Taman Rimba Kiara adalah sah dan mengikat kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Khalid berkata, taman seluas 12 ekar itu telah dizonkan semula daripada tanah lapang kepada pembangunan bercampur pada 2013 dan dipindah milik kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), sebuah badan kebajikan di bawah kementerian tersebut.

Beliau berkata, kementerian perlu membayar premium tanah sebanyak RM60 juta.

“Ada perjanjian. Bila Leon (penyelaras Save Taman Rimba Kiara, Leon Koay) dan orang lain bertanya kenapa kita teruskan rancangan Ku Nan (Tengku Adnan), jawapannya mudah, kita ada perjanjian yang formal, rasmi dan mengikat.

“Ia sah dan mengikat. Pemaju, Malton Bhd berkata, mereka bersedia membatalkan projek itu, tetapi kita perlu membayar RM155 juta (kepada mereka),” katanya kepada kira-kira 500 penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada satu sesi pertemuan malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Pada 2014, YWP, yang ketika itu berada di bawah pengawasan kerajaan Barisan Nasional, mengadakan satu usaha sama dengan Memang Perkasa Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Malton Bhd, untuk memajukan satu projek mega di atas lot seluas 12 ekar daripada 25 ekar tanah Taman Rimba Kiara.

Projek mega ini melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat (1,800 unit) dengan nilai pembangunan kasar sekurang-kurangya RM3 bilion.

Pada 13 Julai 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan untuk projek ini walaupun dibantah oleh penduduk TTDI.

Komuniti TTDI berkempen untuk menyelamatkan Taman Rimba Kiara daripada pembangunan dan membantah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang digazetkan baru-baru ini yang menunjukkan taman tersebut dizonkan semula untuk kemungkinan pembangunan akan datang.

Khalid juga memberitau penduduk, kawasan berkenaan, yang dahulunya merupakan kawasan lapang telah dizonkan semula sebagai kawasan pembangunan bercampur.

“Dari segi teknikal ia tidak salah kerana pelan ini tidak digazetkan pada 2012, dan oleh sebab itu beliau (Ku Nan) boleh berbuat sesuka hatinya.

“Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 tidak pernah digazetkan. Saya menteri pertama melakukannya, walaupun ia tidak diterima semua pihak,” katanya.

Khalid meminta penduduk cuba memahami masalah yang dihadapi, dan kerajaan sedang mencari jalan mencari penyelesaian.

“Perlu diingat, wujud perjanjian yang ditandatangani secara sukarela oleh menteri sebelum ini, dan perjanjian itu sah di sisi undang-undang.

“Kita sedang berusaha mencari penyelesaian. Kita sedang berunding dengan pemaju. Harus diakui dalam rundingan ini kedudukan saya tidak kuat kerana perjanjian yang wujud,” katanya.

Khalid berkata, langkah membawa perkara itu ke mahkamah tidak bermakna apa-apa kerana dokumen berkaitan telah ditandatangani.

“Perintah pembangunan (DO) telah ditandatangan. YWP adalah pemilik sah tanah itu. Jika kita pergi ke mahkamah, mereka akan saman kita atas perbelanjaan yang telah dikeluarkan dan kehilangan keuntungan,” katanya, dan menambah angka RM155 juta adalah anggaran minimum.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, beliau mahu penghuni rumah panjang mendapat rumah mereka, tetapi adalah tidak adil meletakkan beban penunaian janji 36 tahun untuk memberikan rumah kepada golongan itu ke atas bahunya.

“Apa tawaran yang ada? Jika saya batalkan projek itu tanpa membuat tawaran baru, apa yang boleh saya buat? Penghuni rumah panjang tentu akan marahkan saya,” katanya.

Dalam pembentangan sebelum itu, Koay berkata, mereka bukan pemaju, tetapi merupakan penduduk yang menawarkan bantuan.

“Anda perlu fokuskan kepada penduduk sahaja secara bersungguh-sungguh, itu sahaja yang perlu dilakukan.

Hannah Yeoh bersetuju dengan cadangan Koay untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Khalid, dan turut merangkumi 3 persatuan penduduk rumah panjang terbabit. Beliau dan Datuk Bandar Kuala Lumpur juga akan menganggotai jawatankuasa berkenaan.

“Kita tidak boleh membuat keputusan di sini. Ini hanyalah platform untuk membolehkan menteri mendengar pndangan semua pihak.

“Kita akan bergerak menggunakan jawatankuasa ini bersama-sama dengan penghuni rumah panjang,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat langkah menambah nisbah plot daripada 4 kepada 10, yang menurutnya adalah luar biasa.

Beliau juga berkata, yayasan itu juga, yang ditubuhkan lama dahulu bagi membantu menyediakan rumah, tidak boleh dibairkan terlepas daripada tindakan.

“Saya fikir mereka tidak boleh berlepas tangan dan berkata, ‘penduduk boleh pergi buat rumah’. Tidak. Menyediakan rumah adalah teras kewujudan YWP,” katanya.