NGO gesa kerajaan jadikan intip dan hendap kesalahan jenayah

Laporan WAO pada 2013 mendokumenkan 34 kes keganasan rumah tangga dengan 26% daripadanya melibatkan perbuatan intip dan hendap. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa penggubal undang-udang negara supaya segera meluluskan undang-undang berkaitan perbuatan intip dan hendap bagi menjadikannya satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan memperkenalkan perintah sekatan terhadap pelaku di bawah Kanun Acara Jenayah.

WAO dalam satu kenyataan berkata, intip dan hendap ketika ini tidak dianggap sebagai satu jenayah di Malaysia, yang bermakna sekiranya seseorang itu berulang kali menghubungi, mengekori, atau muncul di tempat yang sering dikunjungi mangsa, pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa untuk melindungi mangsa.

“Banyak negara menggubal undang-undang membabitkan intip dan hendap hanya selepas berlakunya kes pembunuhan berprofil tinggi yang menggegarkan negara berkenaan.

“Rakyat Malaysia pernah diintip, dihendap, malah akan ada antara mereka yang mungkin dibunuh atau dicacatkan akhirnya. Perlukah kita menunggu sehingga tercetus kes berprofil tinggi mengejutkan Malaysia untuk kita bertindak?” katanya.

Menurutnya sudah tiba masanya Malaysia menyertai banyak negara lain yang memperluas takrif intip dan hendap sebagai satu jenayah. Negara terbabit termasuklah Singapura, Filipina, Jepun, Australia, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dalam laporan WAO pada 2013 yang mendokumenkan 34 kes keganasan rumah tangga, 26% daripadanya melibatkan intip dan hendap.

Menurutnya jumlah itu konsisten dengan statistik di negara lain seperti AS, di mana 1/3 wanita yang mengalami keganasan rumah tangga turut mengalami intip dan hendap.

Keyataan itu juga berkata, satu kajian oleh Universiti Sains Malaysia pada tahun 2014 pula menunjukkan 9% wanita di Semenanjung Malaysia yang pernah berpasangan, juga mengalami keganasan daripada pasangan mereka, satu jumlah yang mewakili 900,000 wanita.

“Berdasarkan angka ini, besar kemungkinan kira-kira 250,000 mangsa keganasan rumahtanga di Malaysia juga pernah diintip dan dihendap oleh pasangan yang bertindak ganas terhadap mereka (26-33% daripada 900,000 wanita),” menurutnya.