Pinda laporan 1MDB: SPRM, polis digesa siasat bekas ketua setiausaha Najib

Maria Chin Abdullah berkata, beliau tidak terkejut dengan pindaan ke atas laporan 1MDB kerana mendakwa tiada apa yang tidak boleh dilakukan Najib Razak.

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis menyiasat bekas ketua setiausaha sulit Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shukry Salleh yang didakwa mengarahkan pindaan terhadap laporan audit 1MDB.

“Patut dipanggil untuk dijelaskan sama ada beliau buat atau tidak, saya rasa mesti ada penyiasatan oleh SPRM atau polis,” katanya kepada FMT di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Dewan Undangan Negeri Seri Setia di sini, hari ini.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam kenyataan semalam mendedahkan Najib melalui ketua setiausaha sulitnya ketika itu, mengarahkan beberapa perenggan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB digugurkan.

Dua perenggan yang digugurkan itu berkaitan status akaun kewangan 1MDB dan kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Hari ini, Chin berkata, beliau tidak terkejut dengan pindaan ke atas laporan 1MDB itu kerana mendakwa tiada apa yang tidak boleh dilakukan bekas perdana menteri itu.

“Dia tak hormat undang-undang, tak hormat pemegang saham 1MDB dan sekarang berbilion dah dicuri dari negara ini.

“Sekarang kita ada masalah untuk dapat balik semua duit ini kerana mereka telah tukar kepada aset dan kita tak tahu bagaimana nak dapatkan kembali.”

Bekas pengerusi Bersih 2.0 itu turut mempersoalkan mengapa kes mahkamah Najib tidak dipercepatkan.

Himpunan ICERD

Chin berkata, Umno dan PAS mempunyai hak untuk mengadakan himpunan meraikan kejayaan menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, bulan depan.

“Perhimpunan (ICERD) Umno dan PAS boleh disokong kerana ini kebebasan untuk berhimpun.

“Itu adalah hak mereka dan saya rasa perdana menteri pun dah cakap mereka boleh teruskan, tapi (kena) ikut Akta Perhimpunan Aman.”

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Malaysia tidak akan menerima ICERD, sebaliknya terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara.

Susulan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya dilaporkan berkata, himpunan pada 8 Disember ini tetap diteruskan di Dataran Merdeka, tetapi ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, himpunan itu tetap diteruskan, walaupun parti Islam itu menyambut baik keputusan kerajaan tidak mengiktiraf ICERD.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu akan menyertai himpunan itu sebagai tanda “terima kasih” kepada kerajaan kerana tidak meratifikasi ICERD.