Utusan bidas Najib dan bekas pegawai kanan pinda laporan 1MDB

PETALING JAYA: Akhbar berkaitan Umno, Utusan Malaysia hari ini mengkritik Datuk Seri Najib Razak dan beberapa bekas pegawai kanannya, susulan pendedahan ketua audit negara yang Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda.

Awang Selamat, nama samaran editorial Utusan terkejut yang bekas perdana menteri mengarahkan laporan itu dipinda.

Akhbar itu turut terkejut dengan tindakan terbabit disokong bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang, bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Ali Hamsa, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas ketua setiausaha sulit kanan perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh.

“Sekiranya ia benar-benar berlaku, ini merupakan satu pengkhianatan tertinggi ke atas amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat dan negara kepada Najib dan para penjawat awam,” tulisnya sambil menambah tindakan pegawai kanan terbabit mencalarkan imej perkhidmatan awam.

Terdahulu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Najib dalam satu mesyuarat pada 22 Februari 2016 mengarahkan perenggan mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 digugurkan dan mengarahkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ali dan Ambrin.

Katanya, Shukry pada 26 Februari 2016 mengarahkan bekas pengarah audit menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, atas alasan ia sensitif dan mengelak fakta diputar belit pembangkang ketika itu.

Utusan Malaysia turut menyuarakan kekecewaan terhadap Ali dan Ambrin.

Katanya, Ali yang mengetuai kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini seharusnya menunjukkan contoh baik dan berintegriti tinggi, manakala Ambrin pula ialah benteng terakhir untuk memastikan sebarang bentuk salah laku dalam urus tadbir kerajaan dilaporkan kepada Parlimen.

“Sikap Ambrin yang membenarkan pindaan itu dilihat sebagai satu dosa amat besar di mata rakyat.

“Awang berharap beliau akan serta-merta melepaskan jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara kerana apa jua alasan, tahap integriti Ambrin dipersoal dan tidak layak memikul tanggungjawab sebesar itu.”

Akhbar itu berkata, pada awalnya ia kurang bersetuju dengan sikap Tun Dr Mahathir Mohamad memperlekehkan kredibiliti dan integriti penjawat awam, selepas dilantik sebagai perdana menteri buat kali ke-2, susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Namun, dengan pendedahan pindaan laporan ini membuktikan satu penstrukturan semula besar-besaran harus dilakukan bagi memastikan kredibiliti penjawat awam dapat dibina semula.”