Anggota Kabinet bidas kenyataan ‘salah’ polis mengenai kekecohan di kuil

Menteri P Waytha Moorthy (tengah) bercakap pada sidang media bersama Gobind Singh Deo (kanan) dan Dr Xavier Jayakumar (kiri).

KUALA LUMPUR: Empat anggota Kabinet membidas kenyataan polis Subang Jaya pagi tadi berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, mengatakan ia “salah dan tidak bertanggungjawab”.

Menteri P Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri R Sivarasa mahu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat polis Subang Jaya dan tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

Mereka merujuk kepada sidang media Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pagi tadi mengatakan kira-kira 50 lelaki Melayu bertembung dengan sekumpulan orang India, berdasarkan siasatan awal.

Bagaimanapun, tangkap layar kenyataan oleh polis Subang Jaya di Facebook pada 5.40 pagi mengatakan 2 kumpulan India terlibat dalam pergaduhan itu.

FMT mendapati kenyataan polis sekarang tidak mempunyai perkataan “India”.

“Kami menggesa ketua polis negara untuk memastikan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini dibetulkan dengan fakta yang tepat dan dikeluarkan segera,” kata Waytha pada sidang media bersama di Parlimen hari ini.

Anggota Kabinet menambah kenyataan awal itu menyebabkan ketegangan dalam kalangan komuniti India, terutama selepas tindak balas yang lewat dan tidak berkesan oleh polis Subang Jaya.

Mereka mempersoalkan mengapa hanya sebuah kereta peronda polis Subang Jaya berada di tempat kejadian pada 4.15 pagi manakala Unit Simpanan Persekutuan tiba pada 6.00 pagi.

Waytha menggesa polis melaksanakan siasatan penuh dan bebas bagi mengeal pasti dalang sebalik rusuhan dan serangan di kuil itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pada sidang media hari ini mengumumkan setakat ini 7 lelaki ditahan dalam siasatan ke atas kejadian itu.

Beliau memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

“Siasatan sedang dibuat secara agresif dan tangkapan akan dibuat,” katanya lapor Bernama, dan menambah bahawa siasatan melibatkan perbuatan khianat dan merusuh.