Gabungan teksi kesal Big Blue ‘cuti’ protes terhadap kementerian

Gabungan Teksi Se-Malaysia akan meneruskan bantahan seluruh negara pada 19 Disember ini.

PETALING JAYA: Gabungan yang mewakili lebih 100 persatuan teksi seluruh negara melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan pemandu teksi di bawah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd dan sekutunya yang memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang protes atau bantahan sehingga 1 Januari tahun depan.

Kamarudin Hussain yang mengetuai Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM) bagaimanapun berkata pihaknya akan meneruskan bantahan di seluruh negara pada 19 Disember sebagai bantahan terhadap kegagalan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyelesaikan masalah ketidaksamarataan antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing.

“Sebenarnya kami melahirkan rasa kesal terhadap Datuk Sham (Datuk Shamsubahrin Ismail) kerana tidak menghormati larangan kami supaya perjumpaan bersama YB Anthony Loke dibatalkan.

“Perjumpa tersebut seharusnya diadakan di pejabat MOT (Kementerian Pengangkutan) secara rasmi serta dihadiri oleh kami semua, supaya segala keputusan yang dibuat boleh lebih transperan dan diminitkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini, Shamsubahrin berkata pemandu teksi di bawah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd dan sekutunya memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang protes atau bantahan sehingga 1 Januari tahun depan.

Jaminan itu dibuat susulan pertemuannya dengan Loke di Parlimen yang memberi jaminan mulai awal tahun depan, semua pemandu e-hailing termasuk Grabcar perlu mendaftar lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) seperti pemandu teksi.

Kamarudin menyifatkan perbincangan antara Shamsubahrin dan Loke di Parlimen selepas waktu kerja sebagai satu perbincangan tidak rasmi dan tidak lebih seperti sembang kedai kopi.

“Sebenarnya ini adalah kali ke-2 perbincangan berkaitan industri teksi cuba dibuat di luar Pejabat MOT.

“Kali pertama pada 8 Nov 2018 ketika kami ke MOT, kami dimaklumkan oleh wakil MOT, sepatutnya kami tidak dibenarkan berbincang di dalam bangunan MOT atas arahan orang atasan, sebaliknya kami hanya dibenarkan berurusan dengan MOT diluar bangunan MOT,” katanya yang menambah perbincangan Shamsubahrin itu tidak mewakili warga teksi seluruh negara.