Jangan buat kenyataan politik, Sri Ram beritahu bekas ketua hakim

PETALING JAYA: Seorang bekas hakim mempersoalkan tindakan bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohammad, membuat kenyataan berhubung kontroversi membabitkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan berkata, tidak wajar beliau membuat komentar mengenai isu politik, kaum atau ras.

Bercakap kepada FMT, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, tindakan itu boleh menimbulkan keraguan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Komentar hakim, sama ada yang masih bertugas atau telah bersara, berhubung isu undang-undang adalah satu perkara lain, katanya.

“Orang awam tidak boleh diberikan gambaran bahawa hakim mempunyai kecenderungan atau keutamaan politik kerana ia boleh menimbulkan persoalan tentang keesahan penghakiman yang dibuat semasa mereka berkhidmat,” katanya.

Hamid semalam mengingatkan penentang ICERD tentang kemungkinan Putrajaya membuat pusingan-U berhubung keputusannya untuk tidak meratifikasi triti antarabangsa itu.

Bercakap dalam satu forum, beliau berkata, terdapat kumpulan yang masih mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung rasa tidak senang mereka terhadap keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

“Mereka tidak akan berdiam diri,” katanya, dan menambah tekanan itu akan berterusan walaupun sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri.

Sri Ram berkata, hakim sepatutnya tidak terlibat dalam politik.

“Tiada kata-kata yang boleh diucapkan jika ia mencetuskan keraguan terhadap kebebasan badan kehakiman, yang merupakan salah salu teras perlembagaan kita,” katanya.

“Saya terkejut dengan ucapannya (Hamid) kerana beliau mendapat pendidikan terbuka di Universiti Malaya di Singapura.”

Jumaat lepas, Putrajaya mengumumkan keputusannya untuk tidak meratifikasi ICERD dan berkata, ia komited pada kontak sosial yang dipersetujui wakil semua kaum semasa negara mencapai kemerdekaan.

Penentang triti tersebut mendakwa langkah meratifikasinya akan menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk peruntukan yang membenarkan kuota dalam institusi awam seperti digariskan di bawah Perkara 153 perlembagaan Persekutuan.