NGO gesa kerajaan segera gubal akta gangguan seksual

Undang-undang merupakan benteng yang menunjukkan gangguan seksual adalah perilaku yang salah dan tidak boleh diterima sama sekali. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pertubuhan hak asasi wanita menggesa kerajaan segera menggubal sebuah akta mengenai gangguan seksual bagi memastikan golongan itu dilindungi daripada sebarang gangguan, terutama di tempat kerja.

Pegawai Komunikasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Tan Heang Lee berkata, akta itu perlu digubal supaya wanita tidak lagi takut untuk membuat laporan kepada pihak atasan jika berlaku sebarang keganasan dan gangguan seksual terhadap mereka.

“Pelaksanaan undang-undang yang kukuh bagi mencegah gangguan seksual amatlah penting kerana undang-undang merupakan benteng yang menunjukkan gangguan seksual adalah perilaku yang salah dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Pertama kerajaan perlu menggubal ‘Akta Gangguan Seksual’ yang mesti merangkumi aspek definisi gangguan seksual yang meliputi semua bentuk gangguan seksual, termasuk penggunaan kata-kata, gambar atau visual, gerak laku, tingkah laku, dan gangguan secara psikologi.

“Kedua, ‘Akta Gangguan Seksual’ mesti meliputi semua aspek lokasi dan menjangkaui skop tempat kerja, termasuklah institusi pendidikan, tempat awam dan lain-lain.

“Ketiga, akta itu mesti mewujudkan mekanisme yang perlu seperti tribunal bebas bagi membolehkan pengadu mendapatkan keadilan dengan pantas dan tidak membebankan dari segi kos, selain melindungi privasi pengadu,” katanya kepada FMT.

Kata Tan, kebanyakan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja tidak mahu melaporkan kes mereka kerana takut dipersalahkan.

“Lebih-lebih lagi, biasanya terdapat ketidakseimbangan kuasa antara mangsa dengan pemangsa, dan pemangsa mungkin adalah pihak atasan atau bos mangsa,” katanya.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, kebanyakan pekerja wanita yang bekerja di institusi kerajaan menolak untuk membuat sebarang laporan apabila berlaku keganasan atau gangguan seksual.

Setiausaha Kewangan Ceupacs Razali Singah berkata, perkara itu berlaku apabila mereka risau ia akan memberi kesan kepada laporan nilaian prestasi tahunan (LNPT) dan penilaian sasaran kerja tahunan (SKT) mereka.

“Sebagai contoh gangguan seksual, gangguan daripada bos, rakan sekerja dan lain-lain. Mereka takut untuk laporkan kerana risau ia akan beri kesan kepada penilaian prestasi mereka,” katanya.

Sementara itu Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo) berkata, keengganan mangsa gangguan seksual untuk membuat laporan kepada pihak atasan harus difahami sebaiknya.

Setiausaha Sawo Winnie Woo berkata, kebanyakan daripada mangsa beranggapan tiada sebarang hukuman berat yang akan dikenakan ke atas pelaku meskipun aduan dibuat hingga ke pihak atasan.

“Mereka bukan takut untuk buat laporan, tapi kepada siapa? Selepas itu apa yang mereka dapat? Tiada apa-apa dan tiada tindakan.

“Selalunya orang yang buat laporan, orang tu yang akan dihukum. Contohnya mereka akan lebih diperlekehkan dalam kalangan rakan sekerja,” katanya.