Pemandu teksi Big Blue janji ‘cuti’ protes hingga 1 Jan

Shamsubahrin Ismail mengadakan pertemuan dengan Anthony Loke Siew Fook selama 45 minit di Parlimen. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Semua pemandu teksi di bawah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd dan sekutunya memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang protes atau bantahan sehingga 1 Januari tahun depan.

Penasihat syarikat itu, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, jaminan itu dibuat susulan pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, hari ini yang memberi jaminan mulai awal tahun depan, semua pemandu e-hailing termasuk Grabcar perlu mendaftar lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) seperti pemandu teksi.

“Saya diberi jaminan penuh oleh menteri yang mewakili Kementerian Pengangkutan yang mengatakan setiap pemandu e-hailing tidak terkecuali, harus membuat pendaftaran lesen PSV sama dengan pemandu-pemandu teksi mulai 1 Januari 2019, tiada terkecuali.

“Menteri juga memberi jaminan kepada saya langkah itu diambil bagi menjaga periuk nasi pemandu-pemandu teksi, jadi tiada kompromi terhadap sesiapa yang tidak ambil dan mohon PSV, tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita di luar bangunan Parlimen, hari ini.

Shamsubahrin bagaimanapun berkata jaminan pemandu “bercuti” daripada mengadakan protes sehingga awal tahun depan tidak melibatkan persatuan teksi lain.

“Orang lain saya tidak tahu, persatuan lain ke apa saya tidak tahu (kalau mereka nak lakukan protes), tetapi jaminan yang diberi menteri kepada saya, saya pegang pada janji itu dan tidak akan adakan protes,” katanya.

Jumaat lalu, gabungan yang mewakili lebih 100 persatuan teksi seluruh negara memberi amaran warga teksi tidak teragak-agak mengadakan bantahan pada 19 Disember ini selepas Loke didakwa gagal menangani kebimbangan mereka mengenai perkhidmatan e-hailing.

Transformasi Teksi menghantar mesej kepada Loke, menuntut menteri pengangkutan itu meletakkan jawatan jika beliau tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.

Terdahulu, Shamsubahrin mendesak Loke menetapkan tarikh pertemuan dengan pemandu teksi dalam tempoh 2 minggu ini.

Katanya, beliau tidak boleh menerima jika kerajaan Pakatan Harapan gagal menunaikan janji itu selepas tempoh tersebut.

“Saya tengok menteri seorang yang ‘straight forward’, tidak ada pusing-pusing, jadi apa yang saya tengok itu beliau akan kotakan janji tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shamsubahrin berkata perbincangan selama 45 minit dengan Loke turut memberi khabar berita baik kepada pemandu teksi biru berhubung permit teksi mereka.

“Semua pemandu dan pemilik teksi biru, sila serahkan pada saya bukti yang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mahu memperbaharui permit mereka sebelum ini, kerana menteri memberi jaminan akan teliti dan membantu untuk tidak membatalkan permit tersebut,” katanya sambil memaklumkan pertemuannya dengan Loke berlangsung selama 45 minit di Parlimen.