Kerajaan, pembangkang sepakat bincang isu kuil di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini sepakat menghantar usul meminta Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menangguhkan perbahasan untuk mereka membincangkan isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, yang menjadi fokus dalam keganasan mutakhir ini.

Pada sidang media di Parlimen petang tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mewakili kumpulan kerajaan berkata kedua-dua belah pihak mahu membahaskan isu kuil itu yang kini dianggap berkepentingan awam.

“Kami berkumpul sebagai tanda solidariti tanpa kepartian untuk menunjukkan semua Ahli Parlimen menanggap perkara ini perlu diberi penekanan khusus, dan perlu kita rungkai secara bersama,” katanya.

Fahmi berkata speaker memaklumkan usul itu dipertimbangkan untuk dibahas Khamis ini.

Menyertai sidang media tadi antaranya RSN Rayer (PH-Jelutong), Maria Chin (PH-Petaling Jaya), Charles Santiago (PH-Klang), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), P Prabakaran (PH-Batu) dan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) di pihak kerajaan.

Di pihak pembangkang pula antaranya Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Bebas-Masjid Tanah).

Ramkarpal berkata semua Ahli Parlimen bersatu dalam isu ini untuk mententeramkan keadaan, dan meminta keadaan tidak dikeruhkan lagi.

“Orang yang menghasut perlu ditangani dengan serius. Mari kita berdebat dengan cara yang bertamadun,” katanya.

Noh berkata rakyat Selangor perlu bersatu padu pada ketika ini. “Jangan curahkan minyak dalam keadaan tengah panas”.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pada sidang media lain berkata Barisan Nasional menghantar usul tergembar untuk membincangkan isu itu melalui Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Ahli Parlimen BN rasa terpanggil untuk nyatakan perasaan kita yang begitu sedih dan kecewa dengan insiden kuil Seafield.

“Kita bimbang jika tak dikawal dengan cepat akan merebak,” katanya.