Polis: 21 ditahan dalam kekecohan di kuil Subang Jaya

Mazlan Mansor berkata, 23 kenderaan dibakar dengan sebuah jentera bomba dan penyelamat dirosakkan kumpulan perusuh sehingga kini.

SHAH ALAM: Kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, menyaksikan jumlah tangkapan meningkat kepada 21 individu setakat ini berbanding 17 orang semalam, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Katanya, 2 lelaki ditahan lewat petang semalam dan 2 lagi lelaki ditahan awal pagi tadi di sekitar kawasan kuil tersebut.

“Dua suspek ditahan pagi tadi bersama senjata parang yang ditemui di dalam kenderaan mereka naiki. Semua suspek yang ditahan akan direman dari semasa ke semasa bermula hari ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Menurut Mazlan, dalam rusuhan awal pagi tadi, seorang anggota bomba dan penyelamat (JBPM) dari Balai Subang Jaya mengalami kecederaan, selepas diserang ketika memadamkan kebakaran sebuah kenderaan di luar kawasan kuil berkenaan.

Beliau berkata, sehingga hari ini juga, sebanyak 23 kenderaan dibakar dan sebuah jentera bomba dan penyelamat dirosakkan kumpulan perusuh.

Menceritakan kronologi kekecohan terbaharu di kuil itu, Mazlan berkata, pada 10.57 malam tadi, 2 kenderaan dibakar berhampiran kuil dan pada 1.10 pagi, sebuah kenderaan lain ditarik keluar dari kawasan kuil serta dibakar di tepi jalan raya.

“Sejurus selepas itu, pada 1.20 pagi sebuah kenderaan lain turut dikeluarkan dari kawasan kuil serta dibakar. Dalam keadaan itu, seorang anggota JBPM yang sedang memadam kebakaran mengalami kecederaan akibat diserang dan beliau kini dirawat di hospital.

“Sejurus selepas kejadian di kuil pada 2 pagi, kira-kira 1km dari lokasi kuil, iaitu di One City Mall, kumpulan ini memecahkan cermin-cermin bangunan itu, merosakkan sebuah bas, sebuah kereta dan sebuah van yang selepas itu dibakar, selain sebuah motosikal dan beberapa peralatan di ‘showroom’ pusat beli-belah itu turut dirosakkan.”

Katanya, kekecohan yang berlaku di One City Mall masih tiada tangkapan setakat ini, namun pihaknya akan mencari individu bertanggungjawab secepat mungkin berdasarkan maklumat diterima.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai petunjuk mengenai dalang kekecohan itu, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Mazlan berkata, kes disiasat di bawah pelbagai undang-undang berkaitan, termasuk khianat, pencerobohan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau memberi amaran kepada pihak yang masih berdegil supaya berhenti mengambil tindakan bertentangan undang-undang dan berhenti mengeluarkan kenyataan boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Kenyataan-kenyataan tidak sewajarnya telah dikeluarkan pihak berkenaan dan ini timbulkan kegusaran, saya harap pihak-pihak berkenaan hentikan kenyataan yang boleh menganggu ketenteraman awam. Berilah kenyataan yang kita sama-sama boleh pelihara ketenteraman awam di kawasan itu.

“Keadaan masih terkawal, kita ada elemen-elemen kita di sana seperti FRU (pasukan simpanan persekutuan). Namun begitu, kadang-kadang kita dibanjiri mereka dari sekitar daerah berdekatan, itu yang buatkan keadaan ramai orang di satu kawasan.”

Ditanya sama ada polis akan menutup laluan di sekitar kuil berkenaan, Mazlan tidak menolak kemungkinan itu, namun akan membincangkannya dengan pihak berkaitan terlebih dahulu kerana ia adalah laluan utama digunakan penduduk sekitar.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rusuhan itu dan suspek terlibat supaya menghubungi balai bolis berhampiran atau Hotline IPK Selangor di talian 012-6009999.