Isu kuil: SKMM beri amaran individu sebar maklumat palsu, sensitif

Gobind Singh Deo menasihatkan rakyat berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan maklumat di media sosial berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman sejak Isnin lalu. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu dan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, sejak Isnin lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata SKMM sedang memantau rapi maklumat yang disiarkan di media sosial.

“Saya minta supaya rakyat Malaysia berhati-hati keluarkan kenyataan bila kongsi maklumat menerusi WhatsApp, Facebook dan sebagainya. Kita kena bertanggungjawab.

“Ia (maklumat) sedang dikumpul dan akan diberikan kepada saya untuk dilihat secara terperinci dalam masa terdekat,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Puchong itu menasihatkan pengguna media sosial mengawal perasaan ketika memberi komen berhubung kekecohan berpunca daripada isu penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman.

Katanya, setiap rakyat perlu memainkan peranan memastikan isu itu ditangani sebaik mungkin, dengan lebih berhati-hati memberi komen di media sosial bagi mengelakkan timbul ketegangan.

Pelantikan lembaga pengarah Finas 

Gobind berharap senarai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan diumumkan selewat-lewatnya minggu ini.

“Saya difahamkan terdapat mesyuarat Isnin lalu dan anggota lembaga pengarah baharu telah dilantik.

“Saya diberitahu pelantikan badan penasihat juga telah dibuat, saya akan bertemu pimpinan baharu ini dalam masa terdekat dan muktamadkan untuk diumum minggu ini, termasuk ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah.”

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dan Timbalannya, Datuk Azmir Saifudin Mutalib dipindahkan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sementara menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

September lalu, media melaporkan 8 filem yang diberikan geran RM1.2 juta hingga RM5 juta bagi setiap filem, gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.