PH lapor polis minta siasat konspirasi gulingkan MB Perak

V Sivakumar.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan Perak membuat satu laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan ada pihak mahu menggulingkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Sekretariat PH Perak V Sivakumar berkata mereka meminta polis menyiasat dakwaan itu secara menyeluruh, dan sekiranya benar, mengambil tindakan yang perlu agar peristiwa kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat pada 2009 tidak berulang.

Sivakumar berkata laporan polis itu merujuk kepada kenyataan oleh Pengerusi Umno Perak Datuk Saarani Mohamad, bekas menteri besar Datuk Zambry Abd Kadir dan Exco Asmuni Awi.

“Saya telah bincang dengan pimpinan dan kami buat keputusan untuk buat laporan polis. Kalau tak ada tindakan diambil, isu ini berpanjangan dan akan kelirukan rakyat Perak,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi tengah hari tadi bersama seorang wakil pegawai menteri besar Perak.

Sebelum ini, media melaporkan Saarani mendakwa wujud gerakan serius menjatuhkan Faizal oleh beberapa exco menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming juga mendakwa Zambry juga membuat dakwaan yang sama pada satu sidang media.

Asmuni pula mendakwa pemimpin Umno Perak menawarkan jawatan menteri besar jika beliau meninggalkan PH.

Sivakumar berkata ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut, selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen. `