Polis suraikan himpunan berdekatan kuil Seafield

Seorang daripada pemuda yang ditahan kerana enggan mematuhi arahan bersurai daripada polis.

SUBANG JAYA: Polis menyuraikan satu himpunan yang menunjuk perasaan berdekatan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 lewat malam tadi.

Polis mengawal ketat pergerakan penunjuk perasaan.

Polis dari pelbagai unit memperketatkan kawalan sebaik sahaja penunjuk perasaan kelihatan di kawasan perumahan berdekatan pada 10.30 malam tadi.

Unit Tempur Ringan bersiap sedia untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Unit Tempur Ringan (LSF) menyuraikan penunjuk perasaan pada 1.00 pagi tadi tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Sekurang-kurangnya 4 individu ditahan kerana enggan mematuhi arahan bersurai.

Terdahulu, seorang individu dipercayai jurucakap mereka yang berhimpun berkata mereka berada di situ bukan kerana politik.

Di kuil pula, kelihatan beberapa penganut mengawal keselamatan premis itu. Satu upacara mendoakan penyembuhan anggota bomba yang menjadi mangsa rusuhan semalam, Muhammad Adib Mohd Kassim, sedang berjalan.

Polis memeriksa kad pengenalan seorang penunggang motosikal di tempat kejadian.

Polis hari ini mengerahkan 1,400 anggota keselamatan berkawal bagi memastikan keamanan, selepas rusuhan awal pagi semalam yang menyaksikan anggota keselamatan dan penyelamat tercedera, beberapa kenderaan terbakar dan kompleks One City berhampiran dirosakkan.

Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 November berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.

Polis bertindak pantas menangkap penunjuk perasaan.

Bagaimanapun satu kumpulan dalam kalangan penganut di kuil berkenaan berkeras mahu ia dikekalkan di tapak sedia ada, dan tidak dipindahkan ke tapak baru 3km dari situ, walaupun selepas bersetuju berbuat demikian dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 2014.