Selangor cadang kutip caj 20 sen beg plastik dari pasaraya

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang mengutip caj 20 sen yang dikenakan bagi setiap beg plastik daripada pasaraya-pasaraya utama bermula tahun depan.

Exco Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, kutipan itu akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kutipan akan disalurkan ke akaun tabung amanah bagi kegunaan kempen kesedaran akar umbi,” katanya ketika membahaskan ucapan penggulungan Belanjawan Selangor 2019.

Selangor mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan pada setiap Sabtu.

Kempen itu kemudiannya dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan merangkumi kempen bebas bekas makanan polistirena.

Pengguna perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Hee berkata, kempen bebas plastik mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peniaga, pasaraya besar, peruncit, pengusaha dan penduduk.

“Kempen ini boleh dianggap berjaya kerana berdasarkan maklumat yang diterima pasara, hasil kutipan caj 20 sen ini semakin berkurangan.

“Keadaan ini membuktikan kebanyakan pengguna sudah membiasakan diri membawa beg sendiri semsa membeli belah,” katanya.

Hee berkata kerajaan negeri juga sedia mempertimbangkan cadangan penggunaan beg kertas sebagai alternatif kepada beg plastik.

Bagaimanapun, penggunaan beg kertas itu perlu diperhalusi kerana ia mempunyai kesan yang baik dan buruk kepada alam sekitar.

“Contohnya walaupun boleh kitar semula, tapi ia akan melibatkan penebangan pokok yang akan memberi kesan.

“Selain itu, beg kertas tak sesuai untuk membawa barang basah dan berat,” katanya.