
PETALING JAYA: Syarikat dana negara, Khazanah Nasional Bhd memaklumkan hari ini bahawa ia bersetuju menjual pegangan ekuitinya sebanyak 16% dalam IHH Healthcare Bhd bernilai RM8.42 bilion (AS$2) kepada Mitsui & Co Ltd secara tunai.
Khazanah berkata, ia memeterai perjanjian dengan syarikat Jepun itu untuk melepaskan 1.4 juta saham dalam IHH, dan kekal sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat itu.
Pegangan saham Khazanah dalam IHH berkurang kepada 26.05% selepas penjualan itu, berdasarkan modal saham IHH yang bertambah selepas kumpulan penjagaan kesihatan Malaysia itu menyempurnakan pengambilalihan 30% kepentingan ekuiti tambahan dalam syarikat penjagaan kesihatan berpangkalan di Turki, Acibadem Saglik Yatirimlari Holding AS.
“Urus niaga ini merupakan bahagian penting langkah penstrukturan semula portfolio Khazanah, dan perolehan yang didapati akan digunakan untuk pelaburan baru serta keperluan modal lain.
“Khazanah akan terus menjadi pemegang saham penting dengan perwakilan dalam lembaga IHH, dan akan memberikan kestabilan kepada pemegang saham dalam IHH untuk masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah urusan, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Khazanah komited untuk menyokong kumpulan Jepun itu dan “mengalu-alukan kejayaan masa depan IHH”.
“Pelepasan kepentingan itu merupakan sebahagian daripada strategi Khazanah untuk mengembangkan perniagaan yang menerima pelaburan kita dan mencari masa serta nilai sesuai bagi mewujudkan kecairan kepada modal dan keperluan pelaburan untuk masa depan,” katanya.
Khazanah menjangkakan urus niaga itu selesai pada suku pertama 2019.