Lantik anggota SPR yang amanah, kata Ambiga

Bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa pihak berkuasa memastikan 6 orang yang dilantik untuk memimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapat kepercayaan orang ramai dalam menjalankan tugas mereka.

Paling penting kata beliau, mereka perlu bebas daripada kerajaan yang memerintah.

“Mereka yang dilantik mestilah diyakini akan bertindak mengikut undang-undang dan perlembagaan Persekutuan, kata Ambiga, yang juga merupakan peguam terkemuka,

Beliau memberi respons terhadap laporan mengenai kekosongan dalam SPR berikutan keputusan beberapa anggotanya meletakkan jawatan sebelum tamat tempoh perkhidmatan mereka.

Anggota terbaru meletakkan jawatan ialah Datuk K Bala Singam, yang meletakkan jawatan 2 hari lepas, berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan.

Pada 18 Okt, timbalan pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dan 4 yang lain, iaitu Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong, meletakkan jawatan masing-masing sebagai pesuruhjaya SPR berkuat kuasa 1 Jan depan.

Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata, langkah itu dibuat mengikut Perkara 114 perlembagaan Persekutuan.

Kesemua mereka telah menghantar surat memaklumkan peletakkan jawatan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agung.

Sama seperti hakim, anggota SPR dilantik oleh Agong selepas mendapat persetujuan Majlis Raja-raja.

Dilaporkan bahawa Putrajaya kini mengambil langkah menubuhkan tribunal bagi menyiasat 6 anggota SPR yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini kerana dakwaan salah laku.

Pada Mei lepas, Bersih mendesak kerajaan memecat pesuruhjaya SPR dan ditubuhkan tribunal bagi membuka jalan kepada pelantikan pesuruhjaya baru yang berfikiran pembaharuan.

“Ini penting bagi membolehkan langkah pembaharuan seperti pembersihan daftar pemilih sedia ada, pengurusan pilihan raya dan peraturan berkempen tidak lagi memerlukan kajian lanjut,” kata Shahrul Aman Mohd Saari, pengerusi Bersih ketika itu, kepada FMT.

Pada 13 Jun, SPR mengumumkan tempoh jawatan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebagai pengerusi badan itu dipendekkan. Beliau digantikan oleh Azhar 2 bulan selepas itu.

Ambiga berkata, sama seperti hakim mahkamah tertinggi, pelantikan anggota SPR didasarkan kepada perlembagaan Persekutuan.

“Jadi anggota SPR mestilah mempunyai ketokohan hakim,” katanya, dan menambah bahawa, sebelum ini penama biasanya datang daripada kalangan bekas pegawai kerajaan.

Beliau juga berkata, pelantikan Azhar adalah permulaan baik kerana beliau dapat menjalankan tugasnya dengan memuaskan.