Mahkamah tolak permohonan 3 penganut halang One City ambil semula tapak kuil

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos permohonan 3 penganut agama Hindu di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya di sini, untuk menangguhkan proses pengambilalihan semula tanah oleh pemilik asal One City Development Sdn Bhd.

Keputusan itu dibuat hakim M Gunalan di dalam kamarnya.

Peguam, Claudia Cheah Pek Yee yang mewakili One City ketika ditemui media berkata, ketiga-tiga pemohon, iaitu S Thangaraju, M M Mohanakrishnan dan S Nagarajah, tidak mempunyai locus standi untuk membuat permohonan itu, manakala One City adalah pemilik sah tanah berkenaan.

Peguam plaintif, S Mogan berkata, keputusan hari ini tidak akan menghalang kliennya daripada meneruskan tindakan undang-undang terhadap pemaju, kerajaan negeri Selangor dan jawatankuasa kuil yang merupakan pihak terlibat dalam penghakiman persetujuan yang dicapai pada 2014.

“Mahkamah memutuskan 3 individu yang membuat permohonan penangguhan ini gagal memberitahu mahkamah kenapa langkah pengosongan itu tidak boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita.

Pada 11 Mac 2014, berdasarkan penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi, 4 pihak bersetuju menyerahkan kembali tanah tersebut kepada pemiliknya.

Empat pihak tersebut adalah kerajaan negeri, pemilik tanah tapak kuil, One City serta 2 individu yang mendakwa pentadbir kuil, iaitu K Chellappa dan M Nagaraju.

Dalam penghakiman persetujuan itu pemilik tanah, One City juga bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Okt lalu.

Bagaimanapun pada 25 Okt kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.

Exco kerajaan negeri Selangor V Ganabatirau bagimanapun dilaporkan sebelum ini berkata, kuil berkenaan dibina pada 1974.

Kes tersebut berlarutan apabila berlaku kekecohan pada awal pagi Isnin lepas yang menyaksikan lebih 20 kenderaan dibakar dan beberapa orang cedera akibat pertembungan kumpulan.

Sehingga kini polis menahan 30 individu untuk siasatan.

Chellappa, yang diisytiharkan pengurus sah kuil itu sebelum ini merayu penganut mematuhi penghakiman persetujuan pada 2014, dengan pihak kuil bersetuju berpindah dari tanah milik syarikat pemaju berkenaan.

Dalam responsnya terhadap ketegangan yang meletus berhubung isu berkenaan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mempunyai cara bagi menghindari daripada berulangnya rusuhan pada masa depan.