Najib: Pemilik The Edge tunjuk ‘bukti’ berdasar emel dicuri

Najib Razak berkata Tong Kooi Ong tidak mempercayai penjelasan daripada gabenor Riyadh, juruaudit antarabangsa dan pengurusan tertinggi Aabar.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pemilik Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong menunjukkan bukti salah laku membabitkan syarikat 1MDB berdasarkan emel daripada PetroSaudi International.

Menerusi kiriman Facebook, Najib berkata emel itu dicuri kakitangan yang tidak berpuas hati dan kemudiannya memeras ugut majikannya selama beberapa tahun, merujuk bekas pegawai PetroSaudi, Xavier Andre Justo.

“Hari ini Tong mungkin betul tetapi pada Mac 2015, ia adalah perkataannya dan bersandarkan kepada dakwaan seorang kakitangan yang tidak berpuas hati berbanding dengan apa dijelaskan Gabenor Riyadh (Putera Turki bin Abdullah), juruaudit antarabangsa dan pengurusan tertinggi Aabar,” katanya.

Justo ditahan di rumahnya di Pulau Koh Samui, pada 22 Jun 2015, selepas pegawai PetroSaudi memfailkan aduan beliau cuba memeras ugut syarikat itu 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) berhubung dokumen dicuri daripada syarikat terbabit.

Justo kemudiannya diberikan pengampunan oleh Raja Thailand pada Disember 2016.

Sebelum ini, Tong mendedahkan beliau sudah memberi amaran mengenai salah laku membabitkan 1MDB kepada Najib pada 2015 tetapi tidak diendahkan sebaliknya penerbitan akhbar harian dan mingguan syarikat itu digantung.

Najib mendakwa laporan The Edge adalah salah kerana apa yang berlaku pada 1MDB adalah masalah model perniagaannya kerana membuat terlalu banyak hutang bukannya masalah kecurian wang.

Mengimbau pembongkaran akhbar itu mengenai skandal 1MDB, Tong berkata, 1MDB dimulakan pentadbiran Najib pada 2009 dengan perjanjian pertama yang dilakukan membabitkan usahasama AS$1 bilion dengan PSI, yang kemudiannya meningkat kepada AS$1.8 bilion pada 2011.

“Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai usaha sama itu antara tahun 2009 hingga 2013, yang mana 1MDB ketika itu telah mengumpul hutang melebihi RM38 bilion, termasuk menaikkan 3 bon berjumlah AS$6.5 bilion dengan bantuan Goldman Sachs untuk membeli 2 loji kuasa dan membangunkan Tun Razak Exchange (TRX).

Mengulas lanjut, Najib berkata lanjutan daripada pertemuan dengan Tong pada Mac 2015, beliau turut melaksanakan perjanjian penyelesaian pada Jun 2015 dengan IPIC dan menukar unit dana itu dengan IPIC mengambil alih bon AS$3.5 bilion.

“Saya sendiri menghubungi putera raja Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan baginda segera membayar AS$1 bilion kepada 1MDB sebagai memulakan proses itu.

“Ketika itu, tiada petunjuk jaminan unit atau jumlah yang dibayar 1MDB kepada Aabar BVI adalah satu penipuan.

“Namun, hanya pada penghujung 2015, IPIC mempertikai jaminan itu atau menafikan sebagai pemilik Aabar. Dan ini terjadi selepas orang kuat putera raja UAE, Khadem Al Qubaisi dipecat dari jawatannya sebagai pengarah urusan di IPIC,” katanya.

Beliau menambah, pembayaran yang dibuat kepada PetroSaudi dikembalikan beserta dengan keuntungan dalam bentuk unit dana.

“Unit itu dijamin oleh Aabar Corpration dan dimiliki IPIC, yang memiliki aset 2 kali ganda lebih besar dari Khazanah.

“Juruaudit 1MDB mengesahkan nilai unit berkenaan dan tidak menyatakan jaminan Aabar itu tidak wujud. Juruaudit ini adalah antara 4 syarikat audit terbesar di dunia.”