Pihak pendakwaan diarah serah dokumen lengkap pada peguam bekas ketua perisik

Hasanah Abdul Hamid mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah wang kerajaan sebanyak AS$12.1 juta pada 25 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini meminta pihak pendakwaan kes pecah amanah bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid melengkapkan dokumen untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Hakim, Rozina Ayob berkata dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah perlu diserahkan selewat-lewatnya 3 Januari depan bagi pengurusan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad hari ini menyerahkan 46 dokumen, termasuk butiran imigresen dan forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Iskandar berkata, pegawai penyiasat kes itu akan mendapatkan dokumen lain, termasuk senarai sitaan, rakaman keterangan, gambar lokasi dan resit.

Hasanah tiba di mahkamah pada 2.30 petang sambil ditemani adik dan anak saudaranya.

Hasanah mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah wang kerajaan sebanyak AS$12.1 juta (RM50.4 juta), pada 25 Oktober lalu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat ketua pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei lalu.

Sementara itu, peguam Hasanah, Datuk Shaharudin Ali memohon akaun bank anak guamnya tidak dibekukan untuk membolehkannya membayar yuran guaman kes itu.

“Kami harap akaun (Hasanah) tidak dibekukan.”

Hakim kemudian meminta pihak pembelaan mengemukakan permohonan bagi tujuan itu.

Bercakap di luar mahkamah, Shaharudin berkata, pihaknya akan membuat permohonan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Kita minta kes ini didengar Mahkamah Tinggi dan hasrat kita, hakim berlainan daripada hakim yang dengar kes 1MDB untuk dengar kes Datuk Hasanah sebab saya katakan kes Datuk Hasanah tak ada kena-mengena dengan 1MDB.”

Katanya, semangat anak guamnya masih tinggi setakat ini, walaupun pernah dikaitkan dengan pelbagai dakwaan, termasuk surat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.