PM: Plaintif kes kuil Seafield boleh kemuka rayuan ke mahkamah lebih tinggi

Dr Mahathir berkata, ada 3 peringkat mahkamah, iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang boleh digunakan oleh plaintif.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak yang bertegas untuk mempertahankan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya masih boleh mengemukakan rayuan selepas ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kegagalan 3 penganut agama Hindu di kuil Sri Maha Mariamman yang memohon kebenaran mahkamah untuk menangguhkan proses pengambilalihan semula tanah oleh pemilik asal One City Development Sdn Bhd.

“Kita ada 3 peringkat mahkamah. Jika peringkat pertama (Mahkamah Tinggi) dah buat keputusan, kamu boleh merayu ke peringkat kedua (Mahkamah Rayuan), kemudian ke peringkat ketiga (Mahkamah Persekutuan).

“Jika peringkat ketiga dah buat keputusan, jadi kena ikutlah,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, M Gunalan, hari ini menolak dengan kos permohonan 3 penganut agama itu di dalam kamarnya.

Peguam, Claudia Cheah Pek Yee yang mewakili One City ketika ditemui media berkata, ketiga-tiga pemohon, iaitu S Thangaraju, M M Mohanakrishnan dan S Nagarajah, tidak mempunyai locus standi untuk membuat permohonan itu, manakala One City adalah pemilik sah tanah berkenaan.

Peguam plaintif, S Mogan berkata, keputusan hari ini tidak akan menghalang kliennya daripada meneruskan tindakan undang-undang terhadap pemaju, kerajaan negeri Selangor dan jawatankuasa kuil yang merupakan pihak terlibat dalam penghakiman persetujuan yang dicapai pada 2014.

Pada 28 Sept lepas, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Okt lepas.

Bagaimanapun, pada 25 Okt kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.

Pada 31 Okt lepas, Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, dalam penghakiman persetujuan bertarikh 11 Mac 2014, 4 pihak terlibat bersetuju memindahkan kuil itu dan menyerahkan kembali tapaknya dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan iaitu kerajaan Negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta 2 individu yang mendakwa pentadbir kuil berkenaan, K Chellappa dan M Nagaraju.

Dalam kes berasingan, Chellapa diisytiharkan sebagai pengurus kuil yang sah.

Dalam penghakiman persetujuan itu, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil manakala kerajaan Negeri menyerahkan tanah kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) terletak kira-kira 3 kilometer dari lokasi asal kuil untuk tujuan pemindahan kuil itu.