48 permohonan kebenaran nikah bawah umur, kata MB Selangor

Pada 5 September lalu, DUN Selangor sebulat suara meluluskan pindaan menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini berkata, sebanyak 48 permohonan kebenaran pernikahan bawah umur beragama Islam diterima di negeri ini sehingga 31 Oktober lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 34 permohonan diluluskan, dan 14 permohonan telah ditolak.

“Bagi permohonan bawah umur bukan Islam data tersebut ada di bawah Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) mengenai jumlah perkahwinan bawah umur di Selangor dan angka permohonan kebenaran nikah bawah umur selepas kelulusan pindaan enakmen itu pada 5 September lalu.

Pada 5 September lalu, Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) sebulat suara meluluskan pindaan menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Ia menjadi undang-undang selepas semua wakil rakyat sebulat suara menyokong rang undang-undang Enakmen Keluarga Islam (Selangor) (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) (Pindaan) 2018.

Pindaan itu juga menjadikan Selangor negeri pertama yang menetapkan had umur perkahwinan orang Islam dinaikkan susulan kontroversi pernikahan seorang kanak-kanak warganegara Thailand yang berusia 11 tahun dengan seorang warganegara Malaysia berusia 41 tahun.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa istiadat pembukaan mesyuarat sidang DUN Isnin lepas bimbang akan kes penikahan bawah umur dan membenarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyelaraskan had umur perkahwinan.

Mengulas mengenai kebenaran selepas pindaan dibuat itu, Amirudin berkata, sehingga kini belum ada kelulusan permohonan pernikahan bawah umur dibuat.

“Belum ada, kerana undang-undang ini akan dilaksanakan pada Januari 2019.

“Pada waktu ini sehingga Disember kita masih menggunakan enakmen lama yang belum diubah sebagaimana pindaan yang kita buat pada pindaan yang lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengulas mengenai pertanyaan Ahmad Mustain Othman (PH-Sabak) adakah kerajaan negeri akan menggubal enakmen perkahwinan lebih umur disebabkan terdapat mereka yang berusia mempunyai kemahuan untuk berkahwin, tetapi tidak mempunyai tenaga dan akan membuat pasangannya menderita.

Amirudin berkata, pindaan enakmen perkahwinan bawah umur dibuat bagi memastikan fungsi keluarga dikawal dan boleh dibentuk dengan baik kerana terdapat remaja yang sukar dikawal menyebabkan mereka melakukan perkara yang tidak elok.

“Untuk yang sudah berusia dan matang, ini saya rasa boleh fikirkan sendiri untuk kebaikan masing dan jangan menyeksa pihak yang lain. Sesungguhnya kezaliman itu dibenci oleh Allah,” katanya.