Apabila Myanmar dan Israel sekepala dengan Zahid dan Hadi

Sekiranya seorang Melayu Muslim yang baik membaca ICERD atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum secara penuh, mereka akan menerimanya tanpa bantahan.

ICERD telah dibuka untuk ditandatangani dan disahkan (ratified) mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Malaysia sebuah daripada 15 buah negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Israel.

Artikel 5 ICERD menuntut agar hak-hak sivil warga negara ditunaikan tanpa berbelah bahagi. Salah satu yang jelas dinyatakan dalam Artikel 5 (b) adalah hak untuk mendapat perlindungan keselamatan daripada pemerintah dari sebarang keganasan, kecederaan, samada dilakukan oleh anggota kerajaan, atau individu, mahupun mana-mana institusi.

Jika kita memahami perenggan di atas, kita akan memahami mengapa Myanmar beria mengelak untuk menandatangani atau mengesahkan ICERD.

Atau mengapa Israel juga berfikiran sama. Myanmar mungkin berfikir untuk mudah menala minoriti Rohingya, sementara rukun negara Israel sememangnya ketuanan Yahudi.

Tetapi apakah Malaysia mempunyai mana-mana minoriti untuk dihalau ke laut? Atau apakah ketuanan Melayu sudah naik darjatnya menyamai zionisme? Tidak untuk kedua-duanya.

Namun demikian, mengapakah Malaysia atau segelintir pihak gerun dengan ICERD? Kelompok manakah dalam negara ini yang ingin disasarkan oleh penentang ICERD?

Hak-hak sivil yang digariskan dalam ICERD pada Artikel 5 (d) misalnya adalah hak-hak asas yang sememangnya perlu dipenuhi oleh sebuah negara. Sebagai contoh, ia meliputi:

1. Hak untuk bergerak dan menetap di dalam sempadan sesebuah negara. Kita faham mengapa Myanmar dan Israel beria menolak ICERD. Mereka punya Rohingya dan Arab sebagai beban. Akan tetapi hak siapakah yang ingin kita nafikan di sini?

2. Hak untuk meninggalkan sesebuah negara, termasuk negara sendiri, dan untuk kembali ke negara tersebut. Sekali lagi, kita mengerti jika Myanmar dan Israel menghindar dari ICERD. Polisi mereka memang melayan Rohingya dan Arab Palestin seperti binatang. Namun demikian, siapakah yang Hadi Awang dan Zahid Hamidi dendami dalam hal ini?

3. Hak untuk mendapatkan kewarganegaraan. Nah, sah-sahlah Myanmar dan Israel menolak ICERD kerana hak warga memang dinafikan untuk minoriti tersebut, sementara Israel pula tegak atas tanahair orang lain.

4. Hak untuk berkahwin dan memilih pasangan. Ini membolehkan rakyat negara kita menikahi, katakan perempuan atau lelaki dari Lubnan, atau pun Rusia. Tetapi mengapakah ICERD kekal dimusuhi Hadi dan Zahid?

5. Hak untuk memiliki harta benda secara sendiri mahupun secara bersama. Tentu kita akur Myanmar memang mengamalkan polisi merampas tanah minoriti Rohingya sementara Israel memang diketahui menjarah harta, kebun dan kediaman Arab Palestin.

6. Hak untuk mewarisi; hak ini membuatkan kita faham mengapa negara dengan polisi aneh dan kejam yang demikian tersohor dan seteruk Myanmar dan Israel enggan menghampiri ICERD.

7. Hak seterusnya adalah hak untuk kemerdekaan berfikir, beragama, fahaman, dan kepercayaan; jika regim tentera Myanmar anti Islam, sementara Israel hanya menerima zionisme, maka apa pula alasan Hadi Awang dan Zahid Hamidi dalam hal ini?

Sudah tentu memikirkan penolakan Hadi dan Zahid ini membingungkan kita yang waras. Tambahan pula yang seorang mengaku Muslim yang baik, sementara yang seorang lagi mengakui dirinya Melayu yang budiman. Apakah yang ada dalam benak kedua-duanya?

Apakah benar yang ingin dipertahankan adalah agama Islam dan hak keistimewaan Melayu? Ini kerana Islam tidak perlu dipertahankan.

Apabila Abrahah ingin menyerang kota Mekah dan merobohkan Kaabah, datuk Nabi Muhammad (s.a.w.) yang bernama Abdul Muttalib hanya mengatakan kepada gerombolan pongah dari Yemen itu, “Buatlah, cuma jangan ganggu unta dan ternakan kami.”

Abrahah (yang hari ini tentu menolak ICERD sepert Hadi dan Zahid) tercengang lalu bertanya, “Tidakkah kamu ingin melindungi Kaabah? (baca: agama Allah)?”

Abdul Mutalib menjawab bersahaja, “Well, Kaabah pemiliknya Allah, sedang unta dan ternakan itu pemiliknya aku (kami).”

Jika datuk Rasulullah memiliki keyakinan seperti itu, apakah keimanan Hadi dan Zahid begitu nipis sekali?

Jika seandainya ketuanan dan keistimewaan Melayu yang ingin dijulang terlalu, kedua-dua Hadi dan Zahid tentu tidak cukup belajar agama dan akal budi Melayu.
Apakah yang murbawan Melayu hilang contohnya?

Di Malaysia terdapat polisi di mana kaum Bumiputera mendapat diskaun tatkala membeli hartanah. Polisi dalam Dasar Ekonomi Baru yang berhasrat memberikan kek keuntungan ekonomi secara saksama kepada orang Melayu tersebut telah dieksploitasi oleh golongan elit dan atasan Bumiputera sehinggakan masyarakat kelas tinggi semakin kaya, dan kumpulan kecil yang miskin semakin tertekan.

Hal ini misalnya menjadi tinjauan kritis Real Estate and Housing Developers Association (Rehda). Anthony Adam Cho dalam tahun 2013 menyatakan, “The more expensive the unit, the more discount is given. Why are the poor subsidising the rich?”

Dalam hal ini apartheid kelas yang menindas kaum bawahan telah berlaku. Ia bukan sangat mengenai menjaga kepentingan Melayu jika begitu. Ia mengenai kelas.

Kita tentu malu mengakui konsep ketuanan mempunyai persamaan dengan ciri-ciri asabiyyah yang ditolak oleh agama Islam dan digariskan oleh tradisi pewaris Nabi.

Asabiyyah boleh wujud dalam bentuk kepercayaan dan ideologi agama, ketaksuban terhadap nusa, bahasa atau warna kulit. Ia adalah satu aib moral yang muncul gara-gara mempertahankan status kebenaran atau agama, tetapi realitinya, ia diamalkan untuk meluaskan pengaruh sendiri, seseorang yang dekat, atau ahli kumpulan.

Figur hak asasi manusia terkenal dalam Islam, iaitu cicit Rasulullah, Imam Ali Zainal Abidin, menyatakan asabiyyah berlaku apabila ia merasakan kumpulannya lebih baik dari kumpulan yang lain lalu melakukan penindasan terhadap kumpulan-kumpulan tersebut.

Asabiyyah dengan itu mempunyai dua anasir yang membentuknya.

Pertama ia terbentuk kerana adanya prasangka. Prasangka berada dalam benak, menjadi sikap dan terbenih oleh kekhuatiran tidak bersebab, kejahilan atau kebencian.

Kedua, prasangka yang tertanam dalam hati itu mulai diberi aksi dan dilakukan dengan kata-kata, tingkah-laku, dasar, jenayah yang dilakukan oleh individu, kumpulan mahupun institusi.

Terdapat banyak jenis apartheid di dunia ini, dan manusia kecil terus tertindas sehinggalah tiba Cahaya di hujung zaman kelak. Namun demikian, usaha pembendungan apartheid-asabiyyah-ketuanan harus kekal berjalan dan digerakkan.

Sehubungan dengan itu, apartheid-perkauman-asabiyyah (apa sahaja namanya), wajar dipatahkan. Ia adalah sesuatu yang berbahaya untuk masyarakat kerana ia dapat dipelajari.

Maka, ia mesti dihadapkan dengan pelajaran yang dapat menghujah kembali dengannya. Kumpulan dan individu rasis yang membawa dan menyebar kuman perpecahan yang bertujuan untuk menindas wajar dibawa bersemuka.

Darihal ini, Anthony Löwstedt, seorang pengkaji mengenai apartheid dan asabiyyah (beliau juga aktivis Palestin) menegaskan rasisme mesti ditundukkan dan jangan dibiarkan.

Beliau menulis dalam kajiannya “Apartheid: Ancient, Past, and Present Systematic and Gross Human Rights Violations in Graeco-Roman Egypt, South Africa, and Israel/Palestine”:

“Racism is, however, a contagious disease. It is learned and not inherited in any way. Yet, quarantine is not a solution. Racists must be confronted and dealt with wherever and whenever they appear.”

Mereka yang menolak ICERD seperti Hadi dan Zahid tiada hujah agama.

Cuma yang membuatkan kita tertanya, mengapakah mereka ingin menjadi seperti penzalim di Myanmar dan Israel.

Myanmar ingin membunuh Rohingya, Israel ingin menghapus hak Palestin.

Akan tetapi siapakah sebenar sasaran Hadi dan Zahid sehingga saat ini tidak kita ketahui.

Benarlah rasisme itu kuman berbahaya. Benarlah kata Ali Zainal Abidin, mendukung rasisme dan ketuanan bangsa itu adalah satu dosa.

Hari ini kita tahu, untuk dibaca generasi esok, siapa yang batang tubuhnya berlumur dengan dosa.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.