Ke arah Malaysia berasaskan Rahmatan Lil ‘Alamin

Gambar Bernama.

Antara cabaran yang perlu diatasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang dicontohi dunia adalah menawan pergolakan dalaman berunsurkan agama dan bangsa yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Perang lidah hanya akan menyemarakan api perselisihan dan merobakkan status keamanan dan keharmonian negara. Sebagai rakyat, kita bertanggungjawab untuk mengambil pendirian yang lebih tinggi untuk memastikan pembaharuan negara yang positif mampan tercapai.

Di bawah konteks ini, pembaharuan sistem pentadbiran Islam menjadi satu prioriti utama negara. Anjakan sistem syariah dari satu sistem yang punitif ke satu sistem yang reformatif, digabungkan dengan pendidikan yang holistik dapat memupuk sifat keadilan, progresif dan berbelas kasih kepada masyarakat.

Reformasi pentadbiran sebegini pasti memanfaatkan semua warganegara, tanpa mengira bangsa dan agama.

Pendirian G25 Malaysia sejak konsepsinya adalah Islam moderat adalah benteng pertama untuk mengatasi masalah radikalisme, Islamofobia dan ideologi pelampau.

Kami memuji Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof, kerana beliau mempunyai fikiran dan pegangan yang serasi, dan usaha beliau untuk menggalakkan umat Islam Malaysia menyokong prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin.

Dalam ucapan sulungnya sebagai menteri hal ehwal agama, beliau menerangkan 3 matlamat dasar Rahmatan Lil ‘Alamin. Ringkasan dasar itu seperti berikut:

  1. Untuk mempromosi Islam sebagai agama yang berbelas kasih, yang berlandaskan pendekatan yang inklusif dan di mana dosa peribadi adalah tanggungjawab individu. Pihak berkuasa agama hanya perlu bertindak untuk memastikan ketenteraman rakyat umum.
  2. Pelaksanaan sistem maqasid al-syariah, di mana tadbir urus yang adil akan memastikan semua rakyat mempunyai peluang yang sama untuk mencapai potensi masing-masing. Konsep maslahah, yang mempunyai undang-undang dan dasar yang memelihara agama, kehidupan, akal, keturunan dan harta seseorang, bukan hanya menjadi dasar maqasid al-syariah, malah ia juga sejajar dengan hak asasi manusia sejagat dan matlamat pembangunan berkelanjutan (Sustainable Development Goals) di tahap antarabangsa.
  3. Untuk merealisasikan cita-cita Malaysia sebagai model negara Islam yang dicontohi. Peristiwa baru-baru ini mendedahkan kegagalan negara Arab, di mana rasuah berleluasa, pemerintahan demokratik yang lemah, dan pelaksanaan undang-undang syariah secara keras (zalim) membantut ekonomi. Dengan pembaharuan institusi berdasarkan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin, Malaysia boleh mencapai penjanaan ekonomi, mempertingkatkan peluang pekerjaan, dan peluang menjana pendapatan untuk semua rakyat Malaysia. Laluan ke arah Malaysia Baharu baru sahaja bermula. Pembaharuan institusi perlu untuk mempastikan kebebasan sivik dan berpolitik.

Demi memastikan kesucian Islam terjaga bukan bermaksud penafian hak kebebasan beragama dan mengancam kepercayaan agama lain. Sikap toleransi sesama sendiri adalah antara prinsip utama Piagam Madinah dan harus dicontohi.

Kebebasan untuk rakyat bersuara perlu ditegakkan, di mana perbincangan rakyat yang kritikal dan analitikal digalakkan, terutamanya terhadap tadbir urus kerajaan dan pentadbiran Islam.

Buku-buku tidak seharusnya diharamkan atas dasar yang daif, sebaliknya kerajaan harus menggalakkan masyarakat berfikir, kerana Al-Quran dan terjemahannya, hadis dan penerbitan oleh ulama kini semakin mudah diperolehi dan sedia ada untuk membantu memperdalamkan pemahaman rakyat.

Khutbah Jumaat haruslah menyeru pengiktirafan, kesefahaman, dan toleransi dalam masyarakat yang berbilang agama, lebih-lebih lagi untuk masyarakat Islam yang amal, inklusif, adil, dan penuh belas kasihan.

Hanya melalui pembaharuan sedemikian, barulah konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dapat diterap di Malaysia. Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia memikul azam untuk memastikan Malaysia diberi peluang untuk mencapai potensinya yang tertinggi, dan setaraf dengan negara negara “Harimau Asia” yang lain.

Qayser Shahrin ialah penolong setiausaha eksekutif G25 Malaysia

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.