Lebih 100 banduan lolos dari penjara Banda Aceh ketika solat

113 banduan melarikan diri dengan memecahkan pagar menggunakan alat senaman angkat berat. (Gambar AFP)

BANDA ACEH: Seramai 90 banduan di sebuah penjara di barat Indonesia dikesan selepas mereka melarikan diri dengan memecahkan pagar ketika mereka sepatutnya menunaikan solat berjamaah, kata seorang pegawai pada Jumaat.

Banduan terbabit melarikan diri dari penjara di Banda Aceh pada malam Khamis, bagaimanapun beberapa orang berjaya ditahan semula.

“Terdapat 726 penghuni pada masa itu, 113 daripadanya melarikan diri. Kami menahan semula 23 daripada mereka dan masih mengesan tahanan yang lain,” kata jurucakap Kementerian Kehakiman, Ade Kusmanto.

Banduan tersebut keluar dari sel mereka untuk solat berjemaah di negara majoriti Islam itu, tetapi ada yang memanfaatkan situasi itu dengan memecahkan pagar penjara dengan alat senaman angkat berat, kata Kusmanto.

Polis melancarkan pemburuan besar-besaran bagi mengesan banduan yang terlepas dan meningkatkan keselamatan di penjara.

Sepuluh pegawai ditugaskan untuk mengawasi penjara selepas banduan melarikan diri.

Lari dari penjara bukan perkara biasa di Indonesia, di mana banduan sering berdepan keadaan yang tidak selesa di penjara yang penuh sesak.

Mei tahun lepas, lebih 400 banduan melarikan diri selepas solat berjemaah di penjara yang penuh sesak di wilayah Riau.

Sebulan kemudian, puluhan banduan terkandas dalam banjir di penjara di Sumatera selepas satu dindingnya runtuh.