MRT terlalu besar, awal, kata Dr M

Dr Mahathir berkata, apabila sesuatu yang dibina akan hanya digunakan jumlah penuh penumpang dalam tempoh 20 atau 30 tahun, ia perlu dibina secara berperingkat.

PUTRAJAYA: Bagi seseorang yang dikritik 2 dekad lalu kerana didakwa gemar memulakan projek mega, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya tidak segan-silu mengkritik tindak-tanduk pentadbiran sebelum ini.

“Kita membazirkan banyak wang,” katanya dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini. “Beberapa projek ini tidak diperlukan.”

Beliau mengetengahkan projek Transit Aliran Massa (MRT) sebagai contoh, dengan mempersoalkan kemewahan reka bentuknya dan berkata projek itu hanya akan menampakkan manfaat ekonominya pada masa depan.

MRT dipromosikan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai satu sistem yang secara radikal akan mengubah infrastruktur pengangkutan Kuala Lumpur dengan ketara. Ia diwarwarkan sebagai jawapan kepada masalah pengangkutan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Dr Mahathir yang memperkenalkan rangkaian kereta api bandar pertama di Malaysia – sistem transit aliran ringan (LRT) Ampang dan Kelana Jaya – mengakui wujud rasa keterujaan yang meluas apabila MRT mula beroperasi tahun lepas.

“Orang ramai sangat gembira melihat MRT dibina,” katanya. “Ia menelan belanja RM50 bilion, tetapi bilangan penumpang yang menggunakan MRT sangat kecil, sekitar 130,000 sahaja. Itu tidak cukup untuk memberi pulangan.”

Apabila dikatakan bahawa projek itu direka untuk menampung pertumbuhan masa depan Lembah Klang dan dengan itu boleh dijustifikasikan pada masa itu, beliau berkata: “Mungkin. Tetapi anda boleh membina sistem lebih ringan yang tidak begitu mahal, seperti monorel. Dengan MRT, ia adalah kereta api itu sendiri. Ia besar dan melibatkan kos tinggi.”

Pada kemuncak ledakan ekonomi Malaysia pada tahun 1990-an, pengkritik Dr Mahathir sering bercakap mengenai obsesinya dengan struktur besar, yang sebahagiannya digelarkan gajah putih.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang adalah antara banyak projek kebanggaan Dr Mahathir dan beliau memantaunya dengan teliti.

Kedua-dua mercu tanda ini siap pada masa yang tidak berpihak kepada Dr Mahathir. Krisis mata wang Asia pada masa itu berada pada puncakya, dan Malaysia adalah salah satu negara yang teruk terkesan.

Ramai pengkritik pada masa itu berkata ia membazir dan menuduh beliau menghabiskan dana awam ke atas projek tidak mampan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir terus berpendapat lapangan terbang dan banyak projek lain yang dipromosikannya adalah keperluan.

Ketika ditanya mengenai isu itu dalam temu bual FMT pada Mei 2017, itu setahun sebelum kemenangan dramatiknya untuk menjadi perdana menteri sekali lagi, Dr Mahathir merujuk kepada pertumbuhan trafik di KLIA sepanjang 2 dekad yang lalu.

“Untuk mendapatkan tanah untuk lapangan terbang sangat sukar,” katanya dalam temu bual itu. “Kami merizabkan 25,000 ekar tanah untuk sebuah lapangan terbang baru. Lihatlah pada pertumbuhannya. Kami membuka lapangan terbang itu pada 1998. Dalam kira-kira 20 tahun, trafiknya meningkat dari 18 juta hingga 42 juta penumpang.”

Apakah hujah yang sama tidak boleh digunakan untuk mewajarkan MRT, yang melibatkan bayaran pampasan bagi pengambilalihan tanah, termasuk kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur yang padat?

Dr Mahathir tidak berfikir begitu. Beliau berkata, masalah utama dengan MRT ialah kegagalan kerajaan Najib berunding bagi mendapatkan reka bentuk yang lebih munasabah dan kurang mahal.

“Jadi mereka membina sistem yang sangat mewah,” katanya. “Anda melihat stesennya. Wow ”

Bercakap mengenai 2 laluan LRT yang dibina pada tahun 1990-an, beliau menekankan keberkesanan kos mereka, dengan berkata: “Ia adalah stesen yang sangat normal, tidak mewah.”

MRT adalah antara projek yang terjejas oleh langkah kerajaan untuk mengecilkan atau membatalkan projek infrastruktur mega, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Salah satu daripada langkah ini adalah untuk merundingkan semula kos untuk MRT2, yang laluannya bermula dari Sungai Buloh ke Serdang dan Putrajaya.

Dikatakan kerajaan berjaya menjimatkan berbilion ringgit menerusi pengurangan stesen, termasuk mengurangkan jumlah pintu masuk stesen.

Kerajaan Dr Mahathir sebelum ini membatalkan MRT3, laluan yang melingkari ibu negara yang menelan belanja kira-kira RM45 bilion.

Mengimbas kembali pembinaan 2 laluan antara Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, Dr Mahathir berkata ia diselesaikan pada masa kerajaan tidak mempunyai pengalaman dalam projek pengangkutan massa sedemikian.

Dijangkakan masyarakat tidak akan menggunakan kereta mereka, sebaliknya menaiki kereta api, katanya.

“Kami juga menganggap orang tidak akan menggunakan kereta mereka, tetapi kereta api,” katanya.

“Seperti yang anda tahu, pada mulanya masyarakat tidak mahu menggunakannya. Tetapi apabila mereka mendapati betapa mudahnya mereka, bilangan penunggangnya begitu besar sehingga tidak ada ruang.

“Apabila anda membina sesuatu yang akan hanya digunakan jumlah penuh penumpang mungkin dalam tempoh 20 atau 30 tahun dari sekarang. Maka anda mungkin perlu membinanya secara berperingkat.”