PBS: Musa disingkir melalui konspirasi, tak ikut perlembagaan

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) percaya kejadian “rampasan kuasa” di Sabah 12 Mei lalu perlu disiasat bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan susulan laporan polis oleh DAP Perak ke atas dakwaan kejadian yang sama di negeri itu.

Ketua Penerangan PBS Joniston Banguai berkata ada persamaan antara rampasan kuasa di Perak pada Februari 2009, seperti yang disebut oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dengan apa yang berlaku di Sabah pada 12 Mei.

Kedua-dua kejadian itu berakhir di mahkamah dengan kesan buruk bagi pihak yang tersingkir.

Dalam kenyataan Selasa lepas, Nga membayangkan deja vu jika apa yang berlaku pada Februari 2009 berulang sekali lagi. Dia memberi amaran sebarang langkah menyingkir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjejaskan demokrasi berparlimen.

Beliau memetik Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu berhubung kegiatan mengancam demokrasi berparlimen, yang dibaca bersama Seksyen 124C. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

“Berdasarkan kenyataan Nga, bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berhak didengari di mahkamah tentang dakwaan konspirasi yang menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan ditubuh secara sah mengikut undang-undang pada 12 Mei,” kata Bangkuai.

Presiden Parti Solidariti Sabah (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan menggabungkan 2 kerusi dengan 29 kerusi di pihak Musa pada 10 Mei untuk membentuk kerajaan campuran, dengan majoriti mudah.

Bangkaui berkata Musa sebenarnya tidak perlukan 2 kerusi Jeffrey untuk membentuk kerajaan.

“Perlembagaan Sabah jelas. Mengikut Perkara 6(3) dan 6(7), Musa ada bilangan kerusi terbanyak yang bertanding bawah 1 simbol.

“Dewan Undangan Negeri, jika bersidang, akan menyaksikan pembentangan rang undang-undang kerajaan dan Musa akan kekal sebagai ketua menteri yang mengetuai kerajaan minoriti.

“Dakwaan konspirasi terhadap kerajaan Musa akan gagal oleh kerana kuasa penyandang,” katanya.

Bangkuai berkata, malangnya Hakim Yew Jen Kee membesar-besarkan bilangan kerusi, seperti dalam kes Perak pada 2009, dan mengeluarkan penghakiman yang bertentangan dengan pendapat awam pada 7 November.

Beliau berkata ada spekulasi istilah “kerajaan minoriti” akan dikeluarkan daripada perlembagaan negeri “agar perlembagaan negeri lebih jelas”.

“Sekarang masa yang suram buat Sabah kerana kesucian perlembagaan negeri telah dicabuli.

“Saya tak faham bagaimana seseorang boleh tengok keadilan diperolok-olokkan dan berdiam diri,” katanya.