Speaker serah kepada PAC siasat dakwaan ‘pinda’ laporan audit 1MDB

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff berkata, PAC berkuasa penuh memeriksa dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak campur tangan berhubung dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak meminda laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB walaupun terdapat pihak yang menggesa supaya perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Beliau yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menyerahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menangani dakwaan itu.

“Sebagai Speaker, saya tidak campur tangan dengan PAC. Mereka mempunyai kuasa penuh untuk melihat perkara itu.

“Jika tidak, ia akan menjadi tidak teratur,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program sidang meja bulat ‘Electoral Reform of Malaysia’ anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersih di Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang supaya Parlimen merujukkan Najib kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa meminda laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC.

Isnin lalu, Lim berkata, desakan itu dalah susulan kenyataan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang menyebut bahawa Najib dan beberapa orang lain mengarahkan supaya dipadamkan beberapa bahagian dalam laporan itu.

Selain bahagian yang menyebut tentang ahli perniagaan Low Taek Jho, pentadbiran Barisan Nasional turut didakwa mengarahkan beberapa lagi pindaan dibuat terhadap laporan audit 1MDB, kata Madinah.

Ia termasuklah perenggan berkenaan penyata kewangan 1MDB bagi 2014 yang diarahkan sendiri supaya dipinda oleh Najib, sekali gus mengarahkan siasatan penuh ke atasnya oleh pihak berkuasa.

Madinah berkata, Najib membuat arahan itu dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.

PAC dan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat dakwaan meminda laporan 1MDB itu.

Merujuk kepada pengumuman terbaru kerajaan bahawa sesetengah pelantikan hakim akan dibuat melalui Parlimen sebelum nama calon dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Ariff berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas hanya memantau pelantikan penting pegawai kerajaan.

“Jangan menjangkakan jawatankuasa itu memanggil hakim seperti peraturan di Amerika Syarikat. Ia perlu diambil pada tahap yang lebih rendah,” katanya.