Warga Nigeria dihukum mati edar syabu

Warga Nigeria itu dituduh mengedar syabu seberat 727.1 g. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah syabu seberat lebih 700 g, Mei tahun lalu.

Sidrey Shalod Dike, 46, yang bekerja sambilan menghantar barang, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Datuk Azman Abdullah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Setelah mahkamah meneliti hujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan tertuduh didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 727.1 g di tepi lorong, Lot 4072C, stor besi buruk, Jalan Segambut, Kampung Segambut Luar, pada jam 2.30 petang, 3 Mei 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Seramai 10 saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 26 Feb lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa manakala tertuduh diwakili peguam J Kuldeep Kumar.