KPM: Naib canselor UKM ditukar kerana tamat kontrak

KPM: Naib canselor UKM ditukar kerana tamat kontrak

Tempoh perkhidmatan Noor Azlan seperti yang ditetapkan dalam kontrak berakhir pada 31 Disember ini.

KPM berkata, langkah mengenal pasti calon pengganti Noor Azlan ibuat sejak beberapa bulan lalu.
PETALING JAYA:
Penamatan kontrak Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali sebagai naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tiada kaitan dengan kontroversi satu program wacana membabitkan aktivis sosial Hishammuddin Rais.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataannya hari ini berkata, tempoh pelantikan Noor Azlan seperti yang ditetapkan dalam kontrak berakhir pada 31 Disember ini.

“Bahkan langkah mengenal pasti calon pengganti telah dibuat sejak beberapa bulan yang lalu.

“Oleh itu, KPM memohon kerjasama pihak media agar mengelak daripada menyiarkan laporan yang tidak tepat bagi mengelak sebarang kekeliruan,” katanya dalam kenyataan itu.

KPM dalam pada itu berkata, menterinya Dr Maszlee Malik turut berterima kasih kepada Noor Azlan atas sumbangannya yang telah menerajui UKM sejak 2014.

Media sebelum ini melaporkan perkhidmatan Noor Azlan sebagai naib canselor UKM akan berakhir pada hujung tahun ini selepas tindakan beliau yang dikatakan menghalang wacana membabitkan Hishammuddin Rais.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar menerusi kenyataannya sebelum ini berkata, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melantik Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai naib canselor baru bagi menggantikan Noor Azlan.

“Pihak universiti ingin mengumumkan bahawa menteri pendidikan melantik Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai naib canselor UKM yang baru berkuat kuasa mulai 1 Jan depan hingga 3 Disember 2021,” katanya Khamis lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.