Mimpi kebebasan yang membawa seorang wanita Yaman ke Malaysia

Mimpi kebebasan yang membawa seorang wanita Yaman ke Malaysia

Gadis muda di Yaman tidak mempunyai banyak pilihan, terutamanya jika keluarga mereka miskin.

Yusra Ali Salm terpaksa bekerja keras, tetapi beliau tidak perlu meminta-minta ihsan orang lain untuk hidup.
KUALA LUMPUR:
Yusra Ali Salm baru berumur 18 tahun apabila beliau dikahwinkan dengan seorang lelaki berumur 60 tahun.

Katanya, gadis muda di Yaman tidak mempunyai banyak pilihan dalam isu itu, terutamanya jika keluarga mereka miskin.

Beliau tidak mendapat sokongan daripada keluarga sendiri, melainkan daripada salah seorang adik beradik lelakinya yang cuba membantu walaupun mereka tidak memiliki apa-apa.

“Dia berikan saya wang. Dia berikan saya sesuatu,” kata Yusra, kini 50, kepada FMT di pinggir program Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai keganasan berkaitan gender terhadap pelarian di Malaysia.

Beliau menjangka kehidupan sebagai seorang isteri akan menjadi lebih baik kerana beliau boleh terlepas daripada keluarga dan barangkali juga mendapat cukup kebebasan untuk belajar.

Beliau juga menjangka dengan berkahwin, beliau akan direstui keluarganya kerana mereka akan mendapat mahar perkahwinan itu.

Akan tetapi, perkahwinan hanyalah satu lagi mimpi ngeri yang terpaksa dilalui beliau. Kata Yusra, sejak mula lagi, suami beliau memberitahu bahawa dia adalah miliknya kerana telah membayar mahar.

“Saya diberitahu saya tidak boleh bertemu sesiapa atau pergi ke mana-mana. Tiada sesiapa boleh menziarahi saya.”

Kata Yusra, suaminya mengurung beliau dalam satu bilik dari pagi hingga malam. Beliau juga memukul dan merogolnya.

“Berfikir tentang pengalaman itu sudah cukup untuk menyakitkan saya,” katanya ringkas.

Sebagai gadis muda, Yusra bercita-cita menjadi pendandan rambut terkenal. Apabila beliau lebih dewasa, Yusra bekerja di sebuah salon rambut walaupun komunitinya tidak menyenangi langkah itu.

Salah seorang adik beradik lelakinya akan memukul beliau apabila beliau pergi bekerja.

“Orang ramai memberitahunya, ‘kakak kamu tidak baik, dia pergi ke salon. Kenapa kamu biarkannya,” kata Yusra.

Masa berlalu dan keganasan di Yaman terus meningkat. Yusra akhirnya membuat keputusan menjual semua barang kemas miliknya untuk membeli tiket penerbangan ke Malaysia.

“Selain kerajaan membunuh rakyatnya, terdapat banyak masalah dalam keluarga saya, serta masalah dengan suami.

“Di Yaman, wanita dilayan seolah-olah mereka tiada nilai. Seperti haiwan. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Kadang-kadang mereka dianiaya secara seksual, malah dirogol.”

Sewaktu mula-mula tiba di Malaysia 4 tahun lepas dengan anak lelakinya, Yusra mendapati sukar baginya untuk meneruskan kehidupan. Beliau bekerja apa sahaja, daripada membersihkan rumah sehingga mendandan rambut di salon.

Bagaimanapun beliau gembira dengan sokongan yang diterima daripada komuniti Yaman yang berada di Malaysia. Beliau juga mendapat kawan yang membantunya mencari tempat tinggal dan pekerjaan.

Yusra kini menjalankan perkhidmatan mendandan rambut di rumahnya. Ada pelanggan yang membayar sehingga RM500, tetapi biasanya, kehidupan masih sukar.

Bagaimanapun beliau gembira kerana tidak lagi perlu bergantung pada orang lain untuk hidup.

“Saya tidak mahu meminta-minta,” katanya, dengan menambah beliau masih menyimpan cita-cita mahu membuka salon sendiri satu hari nanti.

Anaknya kini berusia 11 tahun. Pada mulanya beliau menghadiri sekolah komuniti pelarian, tetapi kini bersekolah kerajaan atas jasa baik kedutaan negaranya.

“Saya gembira di sini,” kata Yusra. “Saya dan anak berasa selamat di Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.