Pas perjalanan tanpa had dilancar selepas sebulan diumumkan

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, pas itu dimulakan di Kuala Lumpur memandangkan banyak kemudahan pengangkutan awam tertumpu di bandar raya tersebut.

KUALA LUMPUR: Pelancaran pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dijangka mampu menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam selepas ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, usaha kerajaan untuk mewujudkan pas sedemikian mampu mengurangkan kos perbelanjaan harian pengguna yang secara tidak langsung bakal menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

“Inisiatif ini kita harap dapat membantu mereka bukan sahaja dari segi kemudahan, tetapi dari dari segi pengurangan kos sara hidup mereka,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran pas berkenaan, di KL Sentral di sini, hari ini.

Kementerian Pengangkutan hari ini secara rasmi melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2019, awal bulan lalu.

Loke berkata, pas tersebut dimulakan di Kuala Lumpur memandangkan pelbagai kemudahan pengangkutan awam tertumpu di bandar raya tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, inisatif itu akan dikembangkan ke negeri-negeri lain yang mempunyai bandar yang pesat seperti Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang dan lain-lain.

“Kita dalam perancangan tahun depan, memang kita nak lihat balik bagaimana ia membantu khususnya salah satu bandaraya yang amat memerlukan perhatian kita contohnya Kota Kinabalu.

“Kita lihat dulu bandaraya-bandaraya besar yang ada kemudahan dan kita lihat bagaimana kita boleh gunakan dana dan subsidi kita untuk mempromosi penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Pas perjalanan tanpa had My100 berharga RM100 boleh digunakan selama 30 hari untuk semua perkhidmatan Rapid Rail, termasuk LRT, MRT, Monorel serta BRT Sunway dan semua perkhidmatan bas kendalian Rapid Bus di Lembah Klang.

Manakala pas perjalanan My50 berharga RM50 boleh digunakan untuk semua perkhidmatan bas kendalian Rapid Bus di Lembah Klang selama 30 hari.

Kedua-dua pas tersebut boleh digunakan secara aktif bermula Januari tahun depan.

Loke dalam pada itu memberi jaminan keistimewaan kepada kedua-dua jenis kad ini hanya dikhaskan kepada rakyat Malaysia sahaja.

Beliau berkata, pengguna bagi kad ini perlu melanggan pas mereka melalui kad MyKad atau kad MyTentera menerusi platform Touch ‘n Go.

“Pelaksanaan pas perjalanan tanpa had ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45% pengguna perkhidmatan Rapid Rail dan hampir 100% pengguna perkhidmatan Rapid Bus di Lembah Klang dengan menawarkan penjimatan kos perjalanan yang sangat ketara.”