Najib persoal Khazanah ‘jual’ pemilik rangkaian hospital kepada syarikat Jepun

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri mempersoalkan tindakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) “menjual” sebuah syarikat pemilik rangkaian hospital swasta kepada syarikat Jepun secara rundingan terus tanpa tender minggu lalu.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Datuk Seri Najib Razak berkata Khazanah menjadikan Mitsui & Co Ltd (Mitsui) pemegang saham terbesar dalam IHH Healthcare Berhad (IHH) walaupun syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2012, beruntung besar, cepat berkembang dan penuh potensi.

IHH merupakan pemilik rangkaian hospital swasta terbesar di Asia, Malaysia, Singapura dan Turki, kumpulan hospital kedua terbesar di dunia dan India, dan meneroka pasaran China tahun ini, katanya.

Menggunakan jenama “Mount Elizabeth, Gleneagles, Pantai, Parkway dan Acibadem, IHH Berhad bertapak di 9 negara dengan 49 buah hospital dan 35,000 pekerja, serta pemilik Kolej Perubatan Antarabangsa (IMC), Subang Jaya dan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Bukit Jalil.

“Nilai IHH pada akhir tahun lepas juga mencecah AS$11 bilion dengan hasil penjualan tahunan RM11.1 bilion, menghasilkan keuntungan EBITDA RM2.3 bilion,” katanya merujuk kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan.

“Amat rugi sekali satu-satunya syarikat Malaysia yang bertaraf global, beruntung besar, penuh potensi dan cepat berkembang semasa pentadbiran saya telah hilang dan menjadi milik Jepun minggu lepas.”

Najib merujuk kepada laporan Bernama mengatakan Mitsui menjadi pemegang saham terbesar dalam IHH dengan pegangan sebanyak 32.9%, selepas Khazanah menjual 16% kepentingannya pada harga RM8.4 bilion.

Dengan penjualan itu, pegangan saham Khazanah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan, berkurangan kepada 26.05%.

“Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mencuci tangan semalam mengenai isu ini,” kata Najib menjawab kenyataan Lim semalam menggesa beliau tidak menuding jari kepadanya berhubung penjualan itu.

Lim dilapor berkata segala urusan Khazanah adalah bawah perdana menteri.

“Tetapi saya tengok ada juga yang memberi komen menafikan IHH bertukar tangan,” kata Najib.

“Nampaknya ada lagi yang tidak dapat menerima kenyataan syarikat yang kita bina telah dijual oleh kerajaan Pakatan Harapan secara rundingan terus tanpa tender dalam masa begitu singkat selepas mengambil alih kuasa,” katanya.