NGO tempatan bergelut tangani banjir pelarian

Terdapat lebih 160,000 pelarian dan pencari perlindungan yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja membantu orang pelarian di Malaysia kini bergelut dalam menghadapi banjir kemasukan pencari perlindungan yang jauh mengatasi kemampuan sumber mereka yang sedia terbatas.

Setakat Ogos tahun ini, terdapat lebih 160,000 pelarian dan pencari perlindungan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia, dan lebih 42,000 daripada mereka adalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

L Saraswathi.

L Saraswathi, pengurus pusat penjagaan kesihatan keluarga bagi Jabatan Penjagaan Kesihatan, Institut Kajian Sosial Malaysia (MSRI) berkata, mereka terpaksa menutup pendaftaran kepada pelarian baru yang memerlukan khidmat kesihatan.

“Kami menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan, perundingan, rujukan dan penjagaan kesihatan lain secara percuma, tetapi hanya kepada mereka yang berdaftar dengan MSRI,” katanya kepada FMT.

Sehingga kini lebih 6,000 pelarian berdaftar dengan MSRI, dengan kebanyakan doktor perubatan dan pakar kesihatannya bekerja secara sukarela memberi nasihat kepada pelarian, terutamanya berkaitan penyakit kencing manis dan kronik lain. Seorang daripada mereka, seorang doktor berbayar, datang beberapa kali seminggu.

Kata Saraswathi, setiap hari mereka menerima sehingga 40 pelarian yang datang mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan.

Peningkatan jumlah pelarian menghakis sumber mereka dan menyebabkan jabatan penjagaan kesihatan itu tidak lagi berkemampuan memenuhi permintaan.

“Pada 2016, kami terpaksa menutup pendaftaran kerana pelarian terlalu ramai. Jadi kami tidak dapat memberikan khidmat kepada mereka yang tidak berdaftar.

“Kami menasihatkan mereka supaya pergi mendapatkan bantuan daripada UNHCR. Apabila mereka membawa surat atau apa-apa dokumen daripada badan itu dan datang kepada kami selepas itu, kami akan terima mereka sebagai kes kecemasan.”

Beliau berkata, pelarian sendiri perlu tahu tentang saluran bantuan serta pilihan yang tersedia untuk mereka.

“Apa yang kami lakukan sekarang ialah meminta NGO lain menyediakan perkhidmatan berkaitan sekiranya mereka tidak berdaftar,” katanya.

Pelarian yang mempunyai dokumen perlu juga disalurkan ke hospital kerajaan, tetapi mereka perlu membayar sebahagian daripada kos yang dikenakan.

Masalah pendidikan

Pendididkan kanak-kanak pelarian juga merupakan satu lagi masalah besar kepada mereka yang bekerja membantu pencari perlindungan yang masuk ke negara ini.

Liew Yoke Kim.

Liew Yoke Kim, yang mengajar di Sekolah Komuniti Hilla di Ampang berkata, pusat berkenaan kekurangan tenaga dan sumber untuk menerima kemasukan pelajar yang terus bertambah.

Liew, 45, memberitahu FMT bahawa mereka tidak mampu membayar gaji terlalu ramai kakitangan kerana sekolah itu bergantung pada derma orang ramai untuk hidup.

“Kebanyakan petugas di sini bekerja secara sukarela, walaupun ada yang dibayar gaji atau elaun,” katanya dan menambah bahawa sekolah itu kekurangan kakitangan.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, sebilangan anak pelarian yang telah mencapai umur dan tahap pendidikan tertentu ditawar bekerja secara sambilan di sekolah berkenaan.

Namun begitu, katanya, dana yang ada tidak pernah cukup.

“Setiap tahun kami mengadakan bazar bagi mengutip derma untuk membayar sewaan ruang kami, atau untuk membayar kos pengangkutan jika kami perlu membawa kanak-kanak ini ke satu-satu tempat.”

Liew berkata sekolah itu tidak menjangka akan diberikan dana oleh kerajaan.

“Kami tahu rakyat kita pun ada yang susah, terutama di pinggir bandar.

“Kerajaan perlu mendahulukan keperluan mereka terlebih dahulu. Kami hanya lakukan apa-apa yang termampu bagi membantu pelarian ini.”

Liew, yang pernah bekerja sebagai tutor peribadi untuk pelajar tempatan dan pelajar sekolah antarabangsa, kini mengajar anak pelarian dari Afghanistan dan Myanmar yang berasal daripada keluarga miskin.

Perbezaan sikap antara kanak-kanak ini sangat menakjubkan, katanya kepada FMT.

“Kanak-kanak pelarian ini mempunyai potensi dan mereka minat belajar. Sikap sesetengah daripada mereka lebih baik daripada kanak-kanak tempatan.”

Beliau berpendapat ini mungkin disebabkan realiti bahawa pergi ke sekolah adalah satu kebiasaan bagi kanak-kanak tempatan yang tidak perlu berjuang bagi mendapatkan peluang itu.

Sebaliknya, kanak-kanak pelarian melihat pendidikan sebagai satu keistimewaan, dan sebahagian mereka meminta untuk terus berada di sekolah semasa hari cuti atau selepas sesi persekolahan tamat.

“Kami terpaksa menyuruh mereka pulang kerana kami perlu menutup sekolah,” katanya.

Selain kesempitan kewangan, katanya, para guru juga berhadapan cabaran untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak tersebut. Ramai daripada mereka tidak memahami satu patah perkataan Inggeris pun ketika tiba di negara ini.

Mereka juga berasal daripada budaya, umur dan tahap pendidikan yang berbeza-beza.

“Ada 14 pelajar dalam kelas saya dan mereka menyertai sekolah ini pada masa yang berlainan,” kata Liew.

“Ia sangat mencabar kerana sebilangan mereka telah terkedepan, tetapi yang lain yang baru masuk tidak ada pilihan selain terus masuk kelas sedia ada. Tentulah mereka akan terkebelakang.”

Katanya lagi, sebilangan pelajar menyertai kelas pada umur 18 tahun dan berhadapan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pelajar lain yang berumur antara 12 ke 14 tahun.

Kanak-kanak itu juga kurang kesedaran tentang kebersihan dan tata-tertib sosial, kata beliau, tetapi percaya mereka tidak boleh dipersalahkan kerana tidak pernah belajar tentangnya sebelum ini.

Ramai daripada mereka membesar dalam persekitaran sukar yang hanya mementingkan kelangsungan hidup.

Namun begitu, kata Liew, terdapat juga kisah kejayaan yang menyaksikan ada dalam kalngan kanak-kanak pelarian itu berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke universiti di Amerika Syarikat dan Australia.