Umno perlu hormati kehendak MCA bubar BN, kata Bung

Umno perlu hormati kehendak MCA bubar BN, kata Bung

Umno perlu merangka strategi memastikan parti itu tidak bersendirian apabila BN terbubar, kata Bung Moktar.

Bung Moktar Radin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno perlu menghormati kehendak MCA selepas para perwakilan meluluskan resolusi membubarkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk gabungan baharu yang lebih berkesan, kata Datuk Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Umno perlu merangka strategi memastikan parti itu tidak bersendirian apabila BN terbubar.

“Pada saya, apa pun keputusan MCA, Umno perlu hormati dan Umno perlu merangka beberapa strategi baharu. Ini penting kerana Umno parti Melayu dan Bumiputera,” katanya kepada FMT.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini mengumumkan persidangan agung parti itu meluluskan resolusi membubarkan BN pada petang tadi dengan hanya seorang perwakilan membantah.

Perwakilan juga memberi kuasa kepada jawatankuasa pusat MCA untuk memulakan proses pembubaran BN. Wee berkata kehendak perwakilan akan dibawa ke majlis tertinggi gabungan itu.

Bung berkata pada pilihan raya lepas ahli parti itu pun tidak mengundi BN, jelas menunjukkan MCA perlu meyakinkan bukan sahaja masyarakat Cina tetapi juga ahli-ahli sendiri.

“Kita sedar apabila BN kalah sudah tentu keadaan akan berubah. MCA satu-satunya parti berasaskan suku kaum Cina telah hilang sokongan kaum itu,” katanya.

Sejarah gabungan Umno, MCA dan MIC bermula pada awal 1950-an menerusi penubuhan Perikatan.

Bung berkata Umno dan MCA nampaknya perlu mencari haluan yang difikirkan dapat mengukuhkan parti masing-masing.

Namun begitu, beliau tidak merasakan pembubaran BN akan memberi kesan drastik pada partinya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.