Lelaki dipenjara sehari, didenda curi alat buang jeragat

Tertuduh didakwa mencuri barangan bernilai RM50.66 di kedai Mr DIY.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki merasai pengalaman bermalam di penjara sehari dan membayar denda RM200 gara-gara mencuri pelbagai barangan termasuk pisau cukur dan alat membuang jeragat di kedai peruncit perkakas rumah, Mr DIY, 2 hari lalu.

Yong Lee Siong, 32, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Siti Radziah Kamarudin selepas dia mengaku bersalah atas perbuatannya di Mahkamah Majistret, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang masih bujang, dipenjara 7 hari jika dia gagal membayar denda.

Yong didakwa mencuri 2 set pisau cukur, 1 batang alat membuang jeragat, 1 unit pembesar bunyi, 1 bungkus putik kapas, 1 jaring span pencuci pinggan dan 2 unit alat pendengar bunyi yang keseluruhannya bernilai RM50.66 milik kedai Mr DIY Trading Sdn Bhd, di Tesco Extra Taman Midah, Jalan Midah 2, Taman Midah, Cheras, pada 8.30 malam, 1 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang seterusnya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga didenda dan sebat.

Ketika rayuan, peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Yong memohon anak guamnya hanya dijatuhi hukuman ringan dengan alasan tertuduh insaf dan mencuri barang-barang keperluan itu hanya untuk kegunaan sendiri bukannya untuk dijual.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.