Pencari suaka dipindah ke lokasi baru jauh dari sempadan Mexico-AS

Ribuan pelarian terpaksa tinggal di Tijuana kerana pentadbiran Trump menyekat kemasukan serta permohonan suaka mereka ke AS. (Gambar AFP)

TIJUANA: Kebanyakan anggota konvoi penghijrahan beramai-ramai yang terdiri daripada 6,000 migran dari rantau Amerika Tengah dipindahkan ke sebuah pusat perlindungan di Tijuana dalam kawasan kejiranan berbahaya dan terletak jauh dari sempadan Amerika Syarikat (AS).

Pihak pentadbiran bandar Tijuana menutup pusat perlindungan sementaranya di kompeks sukan Benito Juarez, yang sebelum ini menjadi kediaman anggota konvoi itu kerana keadaan yang semakin tidak bersih di venue pilihan kerajaan negeri sementara pelarian menunggu untuk memasuki AS.

Kompleks sukan itu menjadi kediaman kira-kira 6,000 penduduk Amerika Tengah yang mencari suaka di AS sejak mereka tiba di bandaraya Mexico yang bersempadan dengan San Diego, California.

Anggaran tepat sukar diperoleh, namun kira-kira sejumlah 8,000 hingga 10,000 orang, yang merupakan sebahagian daripada konvoi penghijrahan beramai-ramai itu, melarikan diri dari Honduras, Guatemala dan El Salvador dalam 5 gelombang utama sejak 12 Okt sebelum tiba di bandar Tijuana, yang penuh sesak dengan pelarian mulai pertengahan bulan November.

Kerajaan Mexico menghantar pulang sekurang-kurangnya 200 anggota konvoi dari bandar itu, sekali gus mengurangkan jumlah mereka.

Kompleks sukan itu, yang tidak sesuai dihuni manusia, dilanda banjir selepas hujan baru-baru ini, dan jangkitan kutu serta masalah pernafasan semakin berleluasa.

Susulan keganasan yang berlaku antara AS dan Mexico di sempadan bersama mereka, ribuan pelarian terpaksa tinggal di Tijuana kerana pentadbiran Donald Trump menyekat kemasukan serta permohonan suaka mereka ke AS.

Pada Ahad, bas membawa pendatang terbabit ke sebuah pusat perlindungan baru yang diwujudkan oleh kerajaan Mexico kira-kira 15 kilometer dari pelabuhan masuk Otay Mesa dan 22 kilometer dari San Ysidro.

Para pegawai Tijuana pada Sabtu berkata, tiada sesiapa dipaksa berpindah ke pusat perlindungan baru itu, yang merupakan sebuah dewan konsert konkrit besar dikenali sebagai El Barretal, namun memberi amaran mereka tidak lagi akan menawarkan makanan dan penjagaan kesihatan di kompleks sukan Benito Juarez.

Sesetengah anggota konvoi enggan berpindah ke bangunan konkrit yang jauh itu kerana menyifatkan ia adalah satu percubaan bagi memecahkan kumpulan tersebut serta usaha kolektif mereka untuk memohon suaka.

Pusat perlindungan baru itu dikendali oleh pihak berkuasa persekutuan.

Pada Sabtu, Presiden Mexico yang baru Andres Manuel Lopez Obrador menandatangani satu perjanjian dengan rakan sejawatnya dari 3 negara rantau Amerika Tengah untuk mewujudkan satu pelan pembangunan bagi membendung kemasukan pendatang yang mencari suaka di AS.

Pakatan sedia ada dalam kalangan negara terbabit dengan AS, yang dikenali sebagai Alliance for Prosperity, dimeterai pada 2014 bagi tujuan serupa.

Dewan Perniagaan Tijuana bagi perniagaan makanan dan restoran berkata, pihaknya bersedia dan sanggup memberikan visa kerja kepada para pencari suaka terbabit.