
Naib Ketua Pemuda Umno itu berkata tidak patut ada pihak cuba mengap-apikan sentimen perkauman selepas insiden kuil Seafield, yang menjadi fokus dalam keganasan baru-baru ini.
“Pihak berkuasa dan pemimpin politik termasuk Umno berkali-kali menekankan bahawa insiden Kuil Sri Maha Mariamman bukanlah insiden perkauman,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ibrahim mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy kerana kenyataannya dalam kontroversi kuil di USJ 25, Subang Jaya itu.
Presiden Perkasa itu juga berharap kerajaan mengkaji semula kuota menteri berketurunan India.
Shahril berkata pihaknya bersetuju dengan desakan supaya Waytha letak jawatan, merasakan menteri perpaduan negara dan integrasi nasional itu gagal memainkan peranan dengan baik.
Namun beliau tidak bersetuju jika perkara itu dikaitkan dengan jumlah menteri berketurunan India.
“Dalam kita mengkritik Waytha mencetuskan ketegangan, tak perlu pemimpin Melayu pun buat benda sama untuk cari populariti perkauman. Nampak 2×5 saja nanti,” katanya.
“Rakyat rata-rata nak tengok kerajaan yang berwibawa, bertanggungjawab dan mampu menjaga keharmonian. Tak perlu semua benda pun nak kaitkan dengan kaum.”