Timbang kedudukan anda sebelum bercakap mahu bubar BN, Zahid beritahu MCA

Ahmad Zahid berkata, kepimpinan MCA mencadangkan pembubaran BN kepadanya minggu lepas.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihati MCA supaya menimbangkan kedudukannya di negara ini sekiranya ia mahu kekal relevan, berikutan keputusan persidangan agung parti itu malam tadi meluluskan usul pembubaran Barisan Nasional (BN).

“Kita hormati keputusan itu, dan saya percaya mereka tahu apakah yang perlu dilakukan bagi menguatkan parti mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Mereka hanya ada satu kerusi Parlimen, dan ia merupakan kerusi majoriti Melayu.

“Jadi tentu mereka tahu kedudukan sebenar mereka jika mahu kekal relevan dalam landskap politik negara.”

Usul yang diluluskan oleh MCA malam tadi bertujuan membolehkan parti itu membentuk pakatan politik baru yang lebih berkesan.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, hanya seorang perwakilan tidak bersetuju dengan langkah itu.

Zahid berkata, kepimpinan MCA mencadangkan pembubaran BN itu kepadanya minggu lepas.

Katanya, beliau akan berbincang dengan komponen BN lain berhubung isu tersebut.

“MCA perlu tahu bahawa ia tidak mempunyai hak untuk mengusulkan pembubaran BN, walaupun ia hanyalah satu cadangan.

“Mereka perlu tahu apa-apa juga keputusan mesti dibuat dengan persetujuan parti komponen lain,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, adalah lebih baik sekiranya MCA meninggalkan BN.

Beliau berkata, MCA bukan lagi sebahagian daripada proses pembuatan keputusan dalam BN.

Bagaimanapun katanya, BN tidak terburu-buru untuk bubar, dan gabungan politik itu bersikap terbuka kepada sebarang kemungkinan.

“BN sedang pulih. Setakat ini tidak kedengaran khabar angin bahawa ia akan dibubarkan kerana kita perlu berunding dengan parti komponen lain.

“Masa depan BN tidak hanya ditentukan oleh MCA.”

Beliau berkata, daripada bercakap tentang pembubaran, pembangkang sepatutnya melihat arah tuju masa depan mereka.

Katanya, Umno kini terbuka kepada semua pilihan yang ada, walaupun ia perlu berfikir tentang bagaimana mahu bekerjasama dengan DAP sekiranya keadaan sedemikian timbul.

“Jika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan PAS boleh bekerjasama dengan DAP, kenapa tidak Umno?

“Kita tidak harus mengehadkan pilihan dengan berkata Umno tidak boleh bekerjasama dengan PAS atau DAP.

“Landskap politik telah berubah. Siapa tahu dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Umno mungkin bekerjasama dengan DAP. Jadi, biarkan pilihan itu terbuka.”