4 lelaki didakwa terlibat rusuhan kuil guna senjata

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah merusuh menggunakan senjata berbahaya.

PETALING JAYA: Empat lelaki, termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd, yang terlibat dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata berbahaya.

Keempat-empat tertuduh, Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, 26, Mohd Khairi Abd Rashid, 24, Rozaihan Jamaludin, 38, dan pegawai berkenaan, Irwan Nordin, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama dengan beberapa orang lagi yang masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, yang semuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan antara 2.00 pagi dan 5.00 pagi 26 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM10,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan kes diketui Datuk Salim Hamid. Hanya Irwan diwakili peguam, Rafique Rashid Ali. Difahamkan seorang lagi individu yang sepatutnya dituduh mengikut seksyen sama kini berada di hospital.

Sebutan semula kes akan diadakan pada 17 Januari 2019.

Tumbuk kening

Dalam perbicaraaan sama, seorang lelaki T Thinekaran, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu, Datuk K Tanggeswaran, 23, dengan cara menumbuk mangsa di bahagian kening sebelah kiri di tepi jalan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), USJ, pada 4.30 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Salim menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan ringan atas alasan dia mempunyai 2 anak yang perlu ditanggung.

Mahkamah membenarkan Thinekaran diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Mengaku bersalah

Dalam pada itu, 2 lagi tertuduh dihukum penjara dan denda selepas mengaku bersalah.

Mohd Shamis Samsuri, 29, dihukum penjara 2 bulan atas tuduhan berada dalam suatu perhimpunan yang mungkin menyebabkan suatu gangguan kepada ketenteraman awam dan gagal mematuhi arahan bersurai yang diberikan oleh polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kuil berkenaan pada 1.15 pagi, 28 November lalu dan didakwa mengikut Seksyen 151 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 6 bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

R Pavethren, 19, didenda RM3,500 atau penjara 4 bulan selepas mengaku bersalah gagal mengemukakan kad pengenalan semasa pemeriksaan di di Jalan Harmoni, Putra Heights pada 1.15 pagi, 28 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 3 tahun.

Beliau juga didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah mengabaikan perintah anggota polis yang bertugas mengawal dan menyelia lalu lintas di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM300 dan maksimum RM2,000.