Dalang rusuhan kuil sudah dikenalpasti, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata polis sudah mengenal pasti individu-individu yang disyaki menjadi dalang dalam rusuhan kuil Seafield minggu lalu.

Beliau berkata polis mempunyai maklumat mereka dan sudah mengambil tindakan terhadap beberapa orang yang disyaki.

“Bilangannya semakin bertambah,” kata Muhyiddin kepada pemberita pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata ada kerjasama daripada orang ramai yang membantu siasatan polis, umpamanya dalam kes seorang anggota bomba yang parah diserang perusuh.

“Seorang saksi tampil memberikan keterangan, dan kita akan siasat sampai terbukti siapa yang bersalah,” katanya.

Hadir sama pada sidang media adalah Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun. Ditanya mengenai gambar 28 orang saksi yang diminta tampil membantu siasatan, beliau berkata setakat ini belum ada saksi yang datang memberikan keterangan.

Polis setakat hari ini menahan 83 individu dalam siasatan kes kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada Isnin lepas, dan masih memburu yang lain.

Hari ini juga, 4 lelaki, termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, diharapkan ke mahkamah atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata berbahaya.

Sementara itu, polis mengesahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung kenyataannya dalam kontroversi kuil Seafield, dan satu video tular daripada wawancara 10 tahun lalu.

“Siasatan sama ada bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan,” katanya.

Pada 26 November lepas, Waytha bersama 3 anggota Kabinet lain membidas tindak balas polis yang lewat dan tidak berkesan apabila keganasan tercetus di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya hari yang sama.

Dakwaan itu bagaimapaun dinafikan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Dalam kes video tular pula, Waytha ketika memimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dalam satu wawancara di Belanda kira-kira 10 tahun lalu menuduh kerajaan sebelum ini mendikskriminasikan masyarakat India.

Mengenai peranan peguam yang didakwa menjadi punca tercetusnya rusuhan di kuil Seafield, Muhyiddin berkata polis telah mengambil keterangan peguam itu.

“Tindakan lanjut kita serah kepada polis,” katanya.

Sebelum ini, siasatan polis mendapati peguam yang mewakili pemaju menggunakan saluran tidak betul dengan mengupah sekumpulan lelaki untuk menceroboh dan mengawal kawasan kuil pada pagi 26 November.

Ketika itu, polis belum mendapatkan kepastian adakah peguam itu bertindak atas arahan anak guam atau secara bersendirian.