Ibrahim Ali sedia bertemu Waytha di mahkamah

KUALA LUMPUR: Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali tidak akan menarik balik kenyataannya terhadap P Waytha Moorthy.

Malah, beliau sedia bertemu menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di mahkamah.

“Saya tidak akan minta maaf. Kalau dia nak saman, samanlah. Saya tidak akan tarik balik. Peguam saya ‘gembira’ untuk pertahankan saya,” katanya kepada pemberita.

Waytha hari ini memberikan tempoh 24 jam kepada Ibrahim dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman untuk menarik kenyataan yang didakwa fitnah.

Waytha berkata tindakan undang-undang dan saman fitnah akan diambil jika mereka enggan berbuat demikian.

“Mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan palsu dan berunsur fitnah mengenai saya, seolah-olah saya menghina masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

“Ini tuduhan liar dan ‘ucapan benci’ untuk menghasut orang ramai menghadiri perhimpunan anti-ICERD yang dianjurkan PAS dan UMNO, dijadualkan Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ibrahim meminta Waytha supaya memohon maaf kepada polis kerana menuduh polis lambat bertindak dalam rusuhan kuil Seafield.

“Walaupun dia dah puji polis profesional, dia sendiri tak minta maaf pada polis, kerana kenyataan itulah kita katakan dia tidak bertanggungjawab.”