Ikut undang-undang, kata MB selepas RM2 juta dikutip untuk kuil Seafield

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengingatkan semua pihak perlu menyelesaikan kes kuil Seafield mengikut undang-undang, selepas hartawan dan pengasas Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun mengumumkan RM2 juta berjaya dikutip untuk usaha mengekalkan kuil itu.

“Kalau semua pihak telah bersetuju melaluinya, kena kena lalui beberapa proses undang-undang. Sebab itu kerajaan negeri berada di tengah-tengah dan tak ada kepentingan apa-apa,” katanya kepada pemberita di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Vincent mengumumkan setakat ini RM2 juta berjaya dikutip untuk usaha mengekalkan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya di tapak sekarang, di atas tanah yang dimiliki One City Development.

Hartawan itu percaya kontroversi kuil itu akan dapat diselesaikan sekiranya One City menerima tawaran pihaknya.

Amirudin berkata kepentingan kerajaan negeri dalam isu ini adalah menjaga keamanan dan kestabilan, dan dia menyedari kerajaan negeri tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

“Tapi kita cari jalan terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin membidas dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang mendakwa kerajaan negeri menyahwartakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Lagong di Gombak untuk satu projek perumahan.

Menteri besar berkata, pendengaran awam tentang projek tersebut sedang berjalan dan Peka boleh menyuarakan bantahan mereka di situ.

Amirudin berkata setiap penyahwartaan akan diikuti pewartaan tanah yang lain. “Sebab kita komited 30%. Kita kekalkan jumlah hutan simpan,” katanya.

Sebelum ini, Peka berkata penyahwartaan itu menunjukkan kerajaan Selangor tidak menghiraukan alam sekitar, sebaliknya mahu membangunkan apa jua bidang tanah bagi mendapat keuntungan.