Kami masih tak lupa peristiwa itu, kata penduduk Kampung Medan

‘Jambatan’ perpaduan dalam kalangan warga tua Kampung Medan yang musnah 17 tahun lalu kini cuba dibina semula generasi muda. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sunyi, sepi dan suram. Itulah keadaan yang boleh digambarkan sejurus sampai ke Kampung Medan, lokasi yang pernah menjadi saksi kepada satu tragedi berdarah ekoran perbalahan kaum yang menggemparkan negara 17 tahun lalu.

Selepas hampir 2 jam menunggu, muncul seorang pemuda berbangsa India menunggang motosikal mendekati penulis di luar pintu kereta.

“Tunggu siapa ni, kak? Soalnya sambil jari beliau lincah menyentuh skrin pada telefon bimbit.

“Encik, tahu tak sesiapa yang tinggal di kampung ini dan sempat melihat kes pergaduhan pada 2001? Kes pergaduhan melibatkan kaum India dan Melayu di sekitar ini?” soal penulis.

Wajah pemuda itu tiba-tiba berubah, jelas tidak senang dengan pertanyaan tadi. “Tidak mahu campur,” katanya. “Tidak perlu buat liputan mengenai kejadian itu lagi.”

Selepas memujuk beliau dengan pebagai alasan, penulis berjaya mendapatkan ibunya.

Masih tidak lupa selepas 17 tahun

Kami sampai di sebuah rumah teres kos rendah milik keluarga pemuda itu. Selepas menunggu 10 minit, penulis diperkenalkan kepada seorang wanita yang mengaku ibu kepada pemuda tadi.

Wanita berusia 67 tahun yang tidak mahu didedahkan namanya itu berkata, “luka” tragedi itu masih belum terubat meskipun sudah 17 tahun berlalu.

Katanya, bukan keluarganya sahaja, bahkan ramai keluarga lain masih berjaga-jaga antara satu sama lain.

“Saya masih rasa takut-takut. Saya masih ingat kejadian itu, polis datang ramai-ramai. Saya tidak tahu siapakah yang benar dan siapa yang salah. Tetapi sampai hari ini, masih ada dalam kalangan kami yang prejudis antara satu sama lain,” katanya.

Bekas pembantu guru tadika ini berkata, sehingga kini, beliau berasa trauma apabila terdengar kekecohan di sekitar kawasan rumah kerana bimbang kejadian itu tiba-tiba berulang.

“Selalu ada budak-budak di sini main motosikal. Bunyi bising, mereka cakap pun kuat, saya ingat sudah gaduh macam itu hari juga,” katanya.

Apabila ditanya adakah kejadian serangan di Kuil Maha Mariamman tempoh hari mengingatkan beliau kepada kejadian 17 tahun lalu, beliau tanpa lengah menganggukkan kepala.

“Sudahlah, jangan mula. Bila kamu mulakan nanti ia merebak. ‘Luka’ itu susah mahu sembuh,” katanya.

Anak-anak ‘OK’

Keadaan berbeza bagi sepasang sahabat berusia 16 tahun, Irshad dan Selvam (bukan nama sebenar). Mereka berkata, generasi muda di kawasan itu tak pedulikan kata-kata orang tua mereka sekitar tragedi itu.

Mereka ditemui menunggang motosikal bersama-sama. Mereka rakan satu sekolah dan tinggal di kawasan yang sama.

“Mak dan ayah selalu sahaja cerita kisah itu. Nak-nak lagi bila isu kuil ini tengah kecoh. Tapi saya tidak layan kata-kata mereka,” kata Irshad.

“Betul tu, kalau nak ungkit kejadian 17 tahun lalu, saya masih boleh dengar lagi. Tapi apa selepas itu? Saya selalu beritahu ibu bapa, kalau mereka dah musnahkan ‘jambatan’, biarlah generasi macam saya dan Irshad pula yang binanya semula,” kata Selvam.

Tambah kedua-dua remaja itu, mereka dan rakan-rakan lain tetap berbalas senyuman dan sapaan apabila terserempak dengan anak-anak kejiranan sekitar itu.

“Kita kena ‘move on’ sebagai satu entiti, itu yang selalu saya tulis dalam karangan Bahasa Melayu di sekolah,” kata Selvam diikuti gelak tawa Irshad sebelum berlalu pergi.

Dendam tiada, cuma takut dikhianati

Sebelum 2 sahabat baik itu berlalu meninggalkan penulis, mereka sempat memberitahu terdapat kampung lain yang turut terlibat dengan tragedi 17 tahun lalu itu.

Penulis meneruskan tinjauan ke Kampung Lindungan, yang terletak hanya beberapa kilometer sahaja dari situ.

Penantian penulis tidak lama, selepas hanya 15 minit, penulis didatangi seorang lelaki dewasa berusia sekitar 50 tahun.

Beliau menghampiri sambil memegang seikat beg plastik sampah di tangan kanannya.

“Buat apa kat sini, dik?” soalnya. Tanpa melengahkan masa, penulis terus menceritakan tujuan ke situ.

Reaksinya selepas itu seolah-olah membayangkan ketidakselesaan beliau terhadap penulis. Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Peon berkata, dia kehilangan ibunya selepas beberapa bulan tragedi itu berlaku.

Disebabkan kejadian itu, beliau dan keluarga tekad membawa jenazah ibunya ke kampung halaman di Mersing, Johor, kerana risau jika berlaku apa-apa semasa pengurusan jenazah.

“Masa itu kami semua masih takut lagi, rondaan polis pun masih ada walaupun dah dekat 3 bulan kejadian berlalu. Kejadian pun berpunca daripada upacara kematian dan perkahwinan. Jadi saya dengan adik-beradik takut.

“Tak pasal-pasal adik-beradik bawa balik jauh jenazah mak, sedangkan kami semua menetap di sini. Masa itu tak boleh fikir apa dah. Kami cuma takut kejadian tak diingini berlaku,” katanya kepada FMT.

Hingga hari ini, beliau dan adik-beradiknya yang lain hanya berkesempatan melawat pusara ibu setahun sekali, itu pun jika mempuyai kewangan yang lebih sebagai tambang ke sana.

“Saya tak berdendam pun atas apa yang berlaku. Saya juga yakin pihak lain tidak lagi menyimpan benci, cuma saya tahu, masing-masing sudah terluka, susah nak ubati.

“Tengok macam sayalah, punya takut jadi apa-apa, arwah emak dikebumi jauh di Johor. Nak pergi ziarah pun susah, duit tak ada. Dulu kerja ‘peon’ je. Mana ada duit banyak,” katanya sebelum meminta penulis mengalihkan kereta kerana menghalangnya membakar sampah.

Selepas menghabiskan masa di Kampung Medan dan Kampung Lindungan, terlintas di fikiran apakah yang menjadikan kita seorang manusia dan juga rakyat?

Benarkah agama dan kaum kayu ukurnya? Atau apakah ada sifat kemanusiaan lain yang boleh dijadikan ukuran? Bagaimana dengan sifat saling melindungi dan mendamaikan?

Jika peristiwa pahit 2001 itu masih memberi kesan hingga kini, bayangkan jika ia berlaku sekali lagi hari ini. Bagaimanakah agaknya kesan “luka” itu? Sampai bilakah generasi akan datang boleh melupakannya?

Bak kata Nelson Mandela, mudah untuk seseorang memusnahkan dan menjatuhkan, tetapi hero sebenar adalah mereka yang mendamaikan.