PAC mahu panggil Arul Kanda, kata Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan sekurang-kurangnya 3 individu lain untuk disoal dalam siasatan ke atas dakwaan laporan audit dipinda, selepas ia mendengar keterangan bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Pengerusi Datuk Seri Ronald Kiandee bagaimanapun berkata Arul tidak akan dipanggil untuk beri keterangan dalam bulan ini. “Ia akan ditentukan.”

Selain Arul, yang akan dipanggil antaranya bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Ali Hamsa dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Ronald berkata keterangan daripada Ambrin hari ini menghasilkan banyak maklumat baharu. “Banyak lagi pertanyaan yang perlu dikemukakan dan disiasat.”

“Kita akan panggil semua PAC dan pasukan audit yang membuat laporan audit berkenaan untuk memberi keterangan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Ambrin selesai memberi keterangan pada 4.00 petang tadi, dan esok giliran Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad.

Ronald tidak menolak kemungkinan PAC akan memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Ada beberapa nama lain juga akan dikenalpasti. Ada 5 hingga 6 orang nama yang diberikan oleh Ambrin,” katanya.

Siasatan PAC kali ini bukan untuk mengetahui isu 1MDB secara mendalam, tetapi untuk mengesahkan sama ada laporan akhir Jabatan Audit Negara ke atas 1MDB diubah seperti didakwa.

“Siasatan akan bersambung pada tahun hadapan. Harapan kita adalah untuk dapat merungkainya sebelum sesi Parlimen pada akan datang,” kata Ronald.